Undi Bukan Melayu Mungkin Berpaling Daripada PH, Bersama Berpotensi Raih Sokongan

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) tidak boleh menganggap peningkatan peratusan keluar mengundi masyarakat bukan Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sebagai jaminan sokongan kepada gabungan itu, sebaliknya undi berkenaan berpotensi beralih kepada parti lain termasuk Bersama.

Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming, berkata parti serpihan PKR itu berkemungkinan mendapat manfaat daripada kesediaan pengundi Cina dan India, khususnya di Lembah Klang, untuk keluar mengundi sebagai isyarat tidak lagi menyokong PH.

Menurut bekas pemimpin DAP itu, sebahagian pengundi mungkin menggunakan PRU16 sebagai peluang untuk menyampaikan mesej jelas kepada PH dengan memberikan sokongan kepada Bersama.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam episod terbaharu audio siar Keluar Sekejap.

Ong turut menjadikan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban sebagai petunjuk bahawa Bersama tidak boleh dipandang sebelah mata.

Pada PRN itu, Bersama berjaya meraih 22.5 peratus undi dalam pertandingan empat penjuru membabitkan Wawasan, Bersatu dan seorang calon bebas, sekali gus tidak kehilangan wang deposit.

Katanya, keputusan berkenaan menunjukkan parti itu mempunyai potensi untuk menarik sokongan pengundi meskipun masih baharu dalam landskap politik negara.

Dalam pada itu, beliau turut merujuk penurunan kadar keluar mengundi masyarakat Cina dan India pada PRN Melaka berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Berdasarkan data electiondata.my, hanya 58 peratus pengundi India berdaftar keluar mengundi pada PRN Melaka kali ini berbanding 77.5 peratus pada PRU15.

Bagi pengundi Cina pula, kadar keluar mengundi direkodkan sebanyak 58.8 peratus berbanding 72.2 peratus pada pilihan raya umum 2022.

Sementara itu, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, yang turut mengendalikan audio siar berkenaan bersama bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, mengingatkan supaya kekuatan Bersama tidak dipandang remeh.

Beliau berkata, meskipun parti itu hanya memperoleh 3.9 peratus undi, pencapaian berkenaan sebenarnya mengatasi Bersatu yang meraih 3.1 peratus.

Katanya, kecenderungan memperlekehkan Bersama berdasarkan peratusan undi yang diperoleh boleh menyebabkan parti itu dipandang rendah, sedangkan ia berpotensi menjadi alternatif kepada pengundi yang tidak lagi selesa dengan PH.

BBerkaitan

Latest articles