KUALA LUMPUR: Pengasas bersama Nvidia, Jensen Huang menyatakan kesediaannya untuk kembali menerajui syarikat teknologi cip kecerdasan buatan (AI) itu sekiranya lembaga pengarah memutuskan kepulangannya adalah demi kepentingan syarikat.
Kenyataan itu dibuat pada Selasa, dalam kenyataan awam pertamanya selepas meletakkan jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia pada 12 November lalu susulan kontroversi hubungan sulit dengan beberapa wanita.
Memetik laporan Reuters, Huang berkata beliau menerima banyak permintaan daripada pekerja, pelabur, rakan niaga dan pelanggan yang mahu beliau kembali mengetuai syarikat berkenaan.
“Sejak pemergian saya, saya melihat gelombang sokongan daripada pekerja Nvidia, pelabur, rakan niaga dan pelanggan yang mahu saya kembali sebagai CEO.
“Jika Lembaga Pengarah memutuskan bahawa kepulangan saya adalah demi kepentingan pemegang saham, pekerja, syarikat dan Amerika, saya berbesar hati untuk menyahut seruan ini dan kembali sebagai CEO,” katanya.
Huang turut mengakui melakukan kesilapan dalam kehidupan peribadinya sehingga menimbulkan masalah kepada lembaga pengarah syarikat berkenaan.
“Saya tidak memenuhi standard yang diharapkan daripada setiap warga Nvidia dan melakukan kesilapan serius dalam kehidupan peribadi saya.
“Saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesilapan itu dan komited untuk memberikan kerjasama dalam siasatan bebas yang dijalankan oleh lembaga pengarah,” katanya.
Sebelum ini, Huang dilaporkan meletakkan jawatan selepas timbul pendedahan mengenai beberapa hubungan sulit, termasuk dakwaan hubungan dengan seorang bekas eksekutif syarikat teknologi berpangkalan di Singapura, Alice Huang, yang disyaki mempunyai kaitan dengan perisikan China.
Laporan turut mendedahkan dakwaan hubungan sulit dengan seorang eksekutif Nvidia yang berada di bawah seliaan langsungnya.
Kontroversi itu mencetuskan penelitian terhadap tadbir urus syarikat serta kemungkinan berlakunya perkongsian maklumat sensitif berkaitan teknologi cip AI dengan pihak luar.
Bagaimanapun, peluang Huang untuk kembali menerajui Nvidia dilihat berdepan halangan apabila lembaga pengarah dilaporkan tidak bercadang melantiknya semula.
Menurut laporan CBS News, sumber yang mengetahui pendirian lembaga pengarah berkata mereka tidak berminat untuk mengembalikan Huang sebagai CEO atau dalam sebarang jawatan lain di syarikat itu.
Dalam perkembangan berkaitan, kempen mendesak supaya Huang dikembalikan ke jawatan berkenaan mendapat sokongan lebih 190,000 tandatangan, termasuk daripada ribuan individu yang mendakwa sebagai pekerja Nvidia.
Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX, Elon Musk turut menyatakan sokongan terhadap usaha mengembalikan Huang.
Sementara itu, Nvidia sebelum ini melantik Ketua Pegawai Kewangannya, Colette Kress sebagai CEO sementara sehingga pengganti tetap dikenal pasti.
Huang, 63, mengasaskan Nvidia pada 1993 dan menerajui syarikat itu selama 33 tahun sebelum peletakan jawatannya.
Nvidia kini menjadi antara syarikat teknologi paling bernilai di dunia menerusi pembangunan cip pemprosesan grafik dan teknologi AI yang digunakan secara meluas dalam industri teknologi global.










