Meta Tamatkan Ciri Profil Tambahan Facebook Mulai 14 Disember

SAN FRANCISCO: Meta akan menamatkan ciri profil tambahan (Additional Profiles) di Facebook apabila semua profil sekunder di bawah satu akaun pengguna akan dipadamkan secara kekal selepas 14 Disember 2026.

Keputusan itu bermakna pengguna yang mempunyai beberapa profil peribadi di bawah satu akaun Facebook perlu menyimpan maklumat penting masing-masing sebelum tarikh berkenaan bagi mengelakkan kehilangan gambar, video, hantaran dan maklumat lain.

Menurut pengumuman Meta menerusi Meta Newsroom pada 12 November lalu, langkah itu diambil sebagai sebahagian usaha syarikat berkenaan untuk memudahkan pengalaman pengguna di platform media sosial tersebut.

Meta berkata, ciri berkenaan yang membolehkan pengguna mengurus beberapa profil berasingan di bawah satu akaun didapati menambah kerumitan kepada pengalaman penggunaan Facebook.

“Dalam praktiknya, profil tambahan ini menambah kerumitan kepada pengguna dan menyukarkan kami menyediakan pengalaman yang konsisten. Oleh itu, kami sedang memudahkan penggunaan Facebook kepada satu profil sahaja,” menurut kenyataan Meta.

Ciri Additional Profiles diperkenalkan pada 21 September 2023 dan membolehkan pengguna mewujudkan sehingga empat profil tambahan selain profil utama.

Kemudahan itu membolehkan pengguna mengasingkan kehidupan peribadi, pekerjaan, minat dan komuniti masing-masing tanpa perlu membuka akaun Facebook baharu.

Bagaimanapun, Meta menjelaskan bahawa pemansuhan tersebut tidak akan menjejaskan profil utama pengguna, iaitu profil pertama yang diwujudkan ketika mendaftar Facebook, selain Facebook Pages.

“Profil utama Facebook anda dan Pages tidak akan terjejas. Profil utama anda ialah profil pertama yang diwujudkan ketika mendaftar Facebook dan ia akan kekal seperti biasa,” menurut Meta.

Syarikat itu turut memaklumkan pengguna yang terjejas akan menerima pemberitahuan menerusi e-mel, notifikasi dalam aplikasi dan paparan di ruangan Feed, jika berkenaan.

Pengguna masih berpeluang mengeksport maklumat daripada setiap profil tambahan sebelum tarikh akhir berkenaan, namun proses itu perlu dilakukan secara berasingan bagi setiap profil.

Meta turut mengingatkan pengguna yang menguruskan kumpulan Facebook menggunakan profil tambahan supaya memindahkan hak pentadbiran kepada profil utama sebelum 14 Disember.

“Jika profil tambahan anda menguruskan sesuatu kumpulan, pindahkan pentadbirannya kepada profil utama. Sekiranya tiada pentadbir baharu dilantik, kumpulan itu akan dibekukan sehingga seorang pentadbir ditetapkan,” menurut panduan Meta.

Pengguna juga boleh membina semula rangkaian kenalan dengan menambah rakan, menyertai semula kumpulan dan mengikuti halaman Facebook menggunakan profil utama masing-masing.

Perkembangan itu sekali gus menamatkan ciri yang diperkenalkan kira-kira tiga tahun lalu bagi membolehkan pengguna mengurus identiti dan aktiviti sosial berbeza menerusi satu akaun Facebook.

BBerkaitan

Latest articles