MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh diminta mempertimbangkan cadangan menukar nama Jalan PM8 di Bandar Hilir, di sini, kepada Jalan Bossku.
Cadangan itu disuarakan Zamil Ibrahim menerusi hantaran video yang dimuat naik di Facebook pada Selasa ketika beliau berada di lokasi berkenaan.
Dalam video itu, Zamil menunjukkan papan tanda Jalan PM8 sebelum mengaitkan nama berkenaan dengan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah dikenali sebagai PM8.
Beliau turut meminta Ab Rauf mengambil perhatian terhadap cadangan berkenaan selepas kembali dilantik menerajui kerajaan negeri.
“Dia dah tidak diperlukan di bumi Malaysia ini, terutamanya sekali di Melaka.
“PM8 ni, tukarlah. Adalah lebih baik letak Jalan Bossku. Jauh lebih baik, Jalan Bossku,” katanya.
Untuk rekod, Ab Rauf mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 bagi penggal kedua pada 15 November lalu di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Pelantikan itu menyusul selepas gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada 14 November lalu.
Gabungan berkenaan memperoleh 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan BN memenangi 21 kerusi manakala PN memperoleh tiga kerusi.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi baki empat kerusi.
Kemenangan itu membolehkan BN dan PN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga.










