Ismail Belum Letak Jawatan, Dakwa Sumber – Laporan

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim didakwa belum meletakkan jawatan dan tidak pernah menyerahkan sebarang surat peletakan jawatan kepada pihak istana seperti diumumkan sebelum ini.

Dakwaan itu dibuat seorang individu yang rapat dengan Ismail ketika timbul persoalan mengenai ketulenan surat peletakan jawatan yang didakwa ditandatangani Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu.

Menurut laporan Malaysiakini pada Selasa, sumber berkenaan menafikan Ismail sudah meletakkan jawatan atau menghantar surat berkenaan kepada Istana Negeri Sembilan.

“Setakat ini, tiada perkara sedemikian. Beliau belum meletakkan jawatan atau menyerahkan sebarang surat kepada pihak istana,” katanya yang enggan identitinya didedahkan.

Perkembangan itu menyusul selepas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Isnin mengumumkan Ismail sudah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Zambry berkata, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail bertarikh 16 November yang dialamatkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan ketulenan surat berkenaan masih belum dapat disahkan.

Surat itu hanya dihantar ke Istana Hinggap, Seremban pada jam 12.16 tengah malam Selasa oleh seorang wakil firma guaman yang memperkenalkan dirinya sebagai Hamidi daripada firma guaman Shahrul Hamidi & Haziq.

Istana turut menjelaskan bahawa berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, peletakan jawatan Menteri Besar perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan baginda.

Dalam perkembangan sama, sumber berkenaan turut mempersoalkan pihak yang mengeluarkan kenyataan mengenai peletakan jawatan Ismail, termasuk sama ada keputusan itu dibuat sendiri oleh Menteri Besar berkenaan.

“Siapa yang mengeluarkan kenyataan (bagi pihak Ismail) mahu meletakkan jawatan? Adakah beliau sendiri yang membuat kenyataan tersebut?

“Kalau bukan Ismail sendiri yang mengeluarkannya, atas dasar apa parti tampil mengeluarkan kenyataan media?” katanya.

Ismail sebelum ini telah dimaklumkan mengenai perkenan Tuanku Muhriz untuk menerima menghadap beliau pada Jumaat ini, 20 November, jam 10 pagi.

Sementara itu, Zahid menafikan UMNO mengarahkan Ismail meletakkan jawatan dan menegaskan keputusan berkenaan dibuat atas inisiatif Menteri Besar itu sendiri.

BBerkaitan

Latest articles