PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sedang menjalankan siasatan berhubung aktiviti yang dikaitkan dengan kumpulan De Norsemen Kclub International susulan isu status pendaftaran pertubuhan itu yang tular di media sosial.
RoS dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, siasatan dijalankan susulan hantaran di platform Threads yang mempersoalkan sama ada kumpulan berkenaan berdaftar secara sah di bawah jabatan itu.
Menurut kenyataan itu, semakan rekod RoS mendapati tiada pertubuhan berdaftar menggunakan nama De Norsemen Kclub International.
“RoS akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan bagi memastikan perkara ini disiasat secara menyeluruh.
“Tindakan tegas akan diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku sebarang pelanggaran undang-undang tertakluk kepada peruntukan yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, RoS menegaskan bahawa sebarang aktiviti pertubuhan hendaklah mematuhi undang-undang negara.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya merujuk sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat yang sahih berhubung perkara berkenaan.










