Sejuta Tontonan Palsu Akaun PM, Wan Saiful Tuntut Penjelasan Kerajaan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menuntut penjelasan kerajaan berhubung pendedahan syarikat teknologi kecerdasan buatan (AI), Anthropic mengenai permintaan menghasilkan sejuta tontonan palsu bagi akaun media sosial Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mempersoalkan siapa pihak yang mengarahkan penghasilan tontonan palsu itu serta sama ada Anwar mengetahui mengenai operasi berkenaan.

“Siapa yang mengarahkan sejuta tontonan palsu kepada akaun Perdana Menteri? Adakah Perdana Menteri tahu?

“Kalau sekiranya Perdana Menteri tidak tahu atau tidak terlibat, kenapa tidak buat laporan polis?” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan peringkat jawatankuasa Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata, pendedahan menerusi laporan Anthropic pada September lalu itu turut mendedahkan operasi dalam talian berskala besar yang dipercayai dikendalikan sebuah syarikat berpangkalan di Turki bagi memanipulasi sentimen politik dan perjalanan demokrasi di Malaysia.

Menurutnya, operasi berkenaan bukan sekadar membabitkan akaun palsu di media sosial, sebaliknya turut melibatkan kira-kira 1,000 akaun palsu di platform X, portal berita palsu dikenali sebagai Malaysia Pulse serta dokumen risikan yang direka-reka.

Lebih membimbangkan, katanya, operasi itu turut menggunakan jutaan rekod pengundi bagi membina profil politik di semua 222 kawasan Parlimen di negara ini.

“Persoalan paling asas yang wajib dijawab ialah bagaimana mereka mendapat akses kepada data pengundi sehingga mampu menjalankan operasi di setiap kawasan Parlimen kita?

“Adakah terdapat sesiapa dalam kerajaan yang bersekongkol untuk memberikan data itu kepada mereka? Kita ahli Dewan pun terkial-kial nak dapat data begitu, tetapi nampaknya ada syarikat asing begitu mudah boleh mendapatkan data sensitif ini,” katanya.

Wan Saiful turut mempersoalkan kelewatan kerajaan memberikan penjelasan berhubung perkara itu meskipun laporan Anthropic telah didedahkan sejak awal September lalu.

Katanya, menerusi jawapan bertulis Kementerian Komunikasi bertarikh 11 November, kerajaan memaklumkan masih dalam proses mendapatkan maklumat berkaitan perkara berkenaan.

“Sehingga hari ini tidak ada penjelasan serius daripada kerajaan. Sedangkan ini isu membabitkan integriti sistem pilihan raya dan integriti sistem demokrasi negara kita.

“Kenapa kerajaan nampaknya tidak serius menyiasat isu ini? Kebimbangannya ialah nanti ada orang tuduh bahawa ada perkara yang cuba disembunyikan pihak kerajaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kerajaan supaya menjalankan siasatan lebih menyeluruh bagi mengelakkan timbul persepsi bahawa pemimpin tertinggi negara mempunyai kaitan dengan operasi sulit memanipulasi pilihan raya, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, penggunaan akaun media sosial yang mencurigakan dan komen berulang dengan corak hampir sama turut menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan manipulasi persepsi politik menggunakan teknologi AI.

Katanya, terdapat akaun dengan nama pelik yang memberikan komen secara bertubi-tubi setiap kali sesuatu hantaran dimuat naik, termasuk komen yang seolah-olah diselaraskan.

“Kalau sekiranya ada pihak yang cuba menggunakan dana untuk deploy teknologi AI bagi memanipulasi persepsi pengundi, lebih-lebih lagi apabila dekat-dekat PRU16, saya memang bimbang,” katanya.

Beliau menegaskan populariti seseorang pemimpin, termasuk Perdana Menteri, sepatutnya dibina berdasarkan sokongan sebenar rakyat dan bukannya melalui manipulasi teknologi atau persepsi yang dibeli.

“Jangan tertipu dengan propaganda palsu di media sosial. Jangan tertipu dengan penggunaan akaun-akaun palsu untuk memburukkan pesaing politik dan mencipta populariti.

“Kita semua ada tanggungjawab untuk memastikan dana negara tidak disalahgunakan bagi memanipulasi demokrasi dan sistem pilihan raya di negara kita,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles