KUALA LUMPUR: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) tidak akan berkompromi dengan pegawai yang menyalahgunakan kuasa untuk membawa masuk warga asing secara haram, susulan penahanan seorang pegawainya yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Zain, menegaskan pihaknya bersedia memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membongkar kemungkinan wujud rangkaian lebih besar yang terlibat dalam kegiatan berkenaan.
Beliau berkata, penahanan itu susulan tindakan seorang pegawai wanita AKPS yang mengesan perbuatan pegawai atasannya, dipercayai melanggar prosedur ditetapkan.
“ Saya bersedia untuk bekerjasama dengan PDRM dalam isu ini.
“Tangkap berapa ramai yang perlu ditangkap. Saya rasa rakyat Malaysia sudah cukup muak dengan kegiatan seperti ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penajaan Inisiatif Sang Perkasa di Zoo Negara, di sini, hari ini.
Shuhaily berkata, kes berkenaan tidak boleh dianggap sebagai pelanggaran biasa kerana ia berpotensi membabitkan kegiatan counter setting atau pengaturan dalaman yang membolehkan migran memasuki negara tanpa melalui prosedur sah.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai modus operandi kegiatan itu memandangkan siasatan masih berlangsung.
Dalam pada itu, beliau turut memuji keberanian pegawai wanita yang tampil melaporkan perbuatan berkenaan, menyifatkan tindakan itu sebagai langkah penting dalam usaha membanteras salah laku serta memperkukuh integriti dalam AKPS.
Beliau berkata, akan bertemu pegawai berkenaan dalam masa terdekat bagi menyampaikan penghargaan atas keberanian dan integriti yang ditunjukkan, selain memberi jaminan sokongan terhadap tindakannya.
“Keberanian seperti ini perlu dihargai dan dihormati kerana hanya memerlukan seorang individu untuk mengubah apa yang berlaku di lapangan. Beliau berani tampil walaupun berdepan cabaran dan saya akan berada di belakangnya,” katanya.
Pada 17 November lalu, seorang penjawat awam berusia 40-an ditahan selepas disyaki membawa masuk seorang wanita warga asing berusia 38 tahun tanpa dokumen perjalanan sah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 26B(d) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).










