Jamawi Cedera Kepala Akibat Lantai Tandas KLIA Licin

KUALA LUMPUR: Lantai tandas yang licin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyebabkan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar terjatuh sehingga mengalami kecederaan di kepala, pagi tadi.

Insiden itu berlaku ketika beliau menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di ruang menunggu VIP KLIA, sebelum kepalanya terhentak ke lantai.

Jamawi berkata, kecederaan dialaminya memerlukan rawatan segera termasuk jahitan di Menara Medical Clinics KLIA.

Beliau turut memaklumkan kejadian berlaku selepas menamatkan perjalanan udara yang panjang dari Brasilia ke Sao Paulo dan Doha sebelum tiba di KLIA untuk meneruskan penerbangan ke Kota Kinabalu pada jam 1.05 petang.

Menerusi perkongsian di media sosial, beliau merakamkan penghargaan kepada doktor dan jururawat yang memberikan rawatan kepadanya.

Mengulas kejadian itu, Jamawi meminta pihak Malaysia Airports mengambil tindakan memperbaiki keadaan permukaan tandas bagi mengurangkan risiko pengguna tergelincir.

Beliau juga mencadangkan supaya kemudahan laluan kecemasan ke klinik berhampiran disediakan, selain latihan berkaitan bantuan awal kecemasan diberikan kepada kakitangan lapangan terbang.

BBerkaitan

Latest articles