IPOH: Spekulasi mengenai kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan selepas pembentangan Belanjawan 2027 negeri esok tidak berasas, dengan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan kerajaan negeri masih belum bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau berkata, kerajaan negeri masih mempunyai kira-kira setahun baki mandat dan tiada keperluan mendesak untuk mengadakan pilihan raya lebih awal ketika ini.
Menurutnya, keputusan memohon pembubaran DUN tidak boleh dibuat berdasarkan desas-desus atau perkembangan politik semata-mata, sebaliknya perlu disandarkan kepada alasan yang kukuh dan munasabah.
“Saya tidak boleh menghadap Tuanku (Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah) tanpa alasan yang kukuh. Perjalanan kita masih jauh. Kita masih ada masa setahun lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.
Saarani turut menegaskan pembubaran DUN bukan kuasa mutlak Menteri Besar, sebaliknya tertakluk kepada perkenan Sultan Perak.
Katanya, permohonan pembubaran hanya akan dipertimbangkan sekiranya berlaku keadaan yang menjejaskan kestabilan kerajaan negeri, termasuk penarikan diri rakan strategik dalam kerajaan perpaduan sehingga menyebabkan kehilangan majoriti.
“Itu adalah contoh alasan yang munasabah. Terserah kepada Tuanku sama ada mahu membubarkan DUN atau tidak. Itu hak mutlak baginda,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai khabar angin berhubung kemungkinan PRN diadakan lebih awal, sebaliknya merujuk sumber maklumat yang sahih.
Saarani berkata, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, Menteri Besar perlu meletakkan jawatan sekiranya permohonan pembubaran DUN tidak mendapat perkenan Sultan.
Mengulas kemungkinan kemenangan UMNO di beberapa negeri baru-baru ini menjadi pemangkin kepada PRN Perak, beliau berkata perkembangan politik itu tidak boleh dijadikan alasan untuk membubarkan DUN.
Katanya, kerajaan negeri belum mempunyai persiapan mencukupi, termasuk dari segi jentera pilihan raya dan kewangan.
“Kita tidak membubarkan DUN berdasarkan ‘mood’ seperti itu. Banyak faktor lain yang perlu diambil kira.
“Jika sekadar bergantung kepada ‘mood’, adakah kita sudah bersedia? ‘Mood’ satu perkara, persiapan pula perkara lain. Kita belum bersedia untuk pembubaran lagi.
“Jentera pusat daerah mengundi (PDM) belum bersedia dan kita juga tidak mempunyai peruntukan kewangan,” katanya.
Saarani turut menyatakan beliau sependirian dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini menjelaskan kemenangan parti itu di tiga negeri tidak bermakna Pahang dan Perak perlu mengadakan PRN dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, beliau menafikan perkembangan politik selepas PRN baru-baru ini menjejaskan hubungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan perpaduan Perak.
Menurutnya, kerjasama antara parti komponen kekal baik dan urusan pentadbiran negeri berjalan seperti biasa, termasuk mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
Saarani berkata, dakwaan beliau sudah menghadap Sultan Perak bagi memohon pembubaran DUN yang tersebar minggu lalu juga tidak benar.
“Kami sedang bermesyuarat ketika laporan itu keluar dan kami ketawa kerana laporan itu langsung tidak benar.
“Setakat ini tiada. Malah minggu lalu, ketika timbul khabar angin mendakwa saya sudah menghadap Tuanku, kami sebenarnya sedang bermesyuarat semasa laporan itu keluar,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan Perak dan melaksanakan tanggungjawab sepanjang mandat yang masih berbaki.
“Kita boleh terus bergerak ke hadapan kerana kita bersikap profesional. Selagi mandat masih ada, tumpuan kita adalah kepada pembangunan negeri,” katanya.










