Rais Persoal Poay Tiong, Sanggupkah Melaka Tutup Premis Dua Jam Setiap Jumaat?

AYER KEROH: Kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, yang membayangkan Melaka bakal mengikut langkah Terengganu berhubung penutupan premis perniagaan ketika solat Jumaat, mengundang sindiran Exco kerajaan negeri, Datuk Rais Yasin.

Rais mencabar pemimpin DAP itu membayangkan sendiri situasi berkenaan sekiranya Melaka turut menguatkuasakan peraturan sama, sedangkan kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan mengenainya.

Beliau berkata, tindakan Poay Tiong mengaitkan pelantikan wakil PAS dalam barisan Exco Melaka dengan kemungkinan pelaksanaan peraturan itu hanya berasaskan andaian.

“Poay Tiong nak ke jika kerajaan negeri Melaka melaksanakan peraturan menutup premis selama dua jam pada waktu solat Jumaat? Kita lihat dia sanggup ke Terengganu untuk melihat bagaimana peraturan itu dilaksanakan di Terengganu,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat pasca-Exco kerajaan negeri di Wisma Negeri, hari ini.

Rais menegaskan kerajaan negeri tidak pernah membincangkan mahupun mengeluarkan arahan untuk menutup premis perniagaan ketika solat Jumaat, sambil mengingatkan supaya spekulasi tidak dijadikan fakta sehingga mencetuskan kebimbangan masyarakat.

Katanya, Melaka sebagai negeri berbilang kaum dan agama tidak akan melaksanakan dasar yang menjejaskan kepentingan mana-mana pihak tanpa pertimbangan serta perbincangan sewajarnya.

Beliau turut menegaskan isu solat Jumaat tidak sepatutnya dipolitikkan kerana ia berkaitan tuntutan agama dan bidang kuasa pentadbiran negeri.

Mengulas tindakan lanjut terhadap Poay Tiong, Rais berkata kerajaan negeri tidak bercadang membuat laporan polis, namun berharap kontroversi itu tidak berulang.

Beliau berkata permohonan maaf terbuka Poay Tiong diterima, tetapi mengingatkan semua pihak supaya menjaga sensitiviti agama dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Poay Tiong sebelum ini mengkritik arahan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang melarang aktiviti perniagaan dan hiburan ketika solat Jumaat, selain membangkitkan kebimbangan Melaka akan mengambil langkah sama susulan pelantikan seorang wakil PAS sebagai Exco negeri.

Kenyataan itu mengundang kritikan pelbagai pihak, termasuk pemimpin DAP dan Pakatan Harapan, sebelum beliau tampil memohon maaf secara terbuka.

BBerkaitan

Latest articles