PAC Dedah Ketidakteraturan Kewangan UKM, Syor SPRM Siasat Cubaan Beri Suapan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan berlaku ketidakteraturan serius dalam tadbir urus kewangan di Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pengerusinya, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, siasatan PAC mendapati terdapat beberapa kelemahan tadbir urus termasuk pengabaian aduan konflik kepentingan selama hampir lapan bulan oleh pentadbiran lama UKM.

Menurutnya, perkara itu dikenal pasti menerusi prosiding yang dijalankan dari 29 Jun hingga 16 Julai 2026 susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara Bilangan 1/2026.

Beliau berkata, PAC turut mendapati perjanjian antara UKM dan Koperasi Siswazah Bangi Berhad (KSBB) bagi pengendalian program Sarjana Pendidikan (SPEN) serta Diploma Pengurusan Lepasan Ijazah (DPLI) tidak mematuhi tatacara perolehan kerajaan.

“Perjanjian itu juga melanggar Perlembagaan UKM kerana tidak mendapat kelulusan rasmi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan Kementerian Kewangan (MoF).

“KSBB telah mengutip yuran pengajian secara terus daripada pelajar tanpa sebarang mandat sah, malah hasil kutipan disimpan koperasi sebagai agihan kasar dan tidak direkodkan dalam akaun UKM,” katanya pada sidang media di Parlimen, pada Isnin.

Mas Ermieyati berkata, keadaan itu menyebabkan pendapatan universiti berkenaan terkurang nyata mengikut piawaian perakaunan awam.

Beliau turut mendedahkan Pejabat Penasihat Undang-Undang (PUU) UKM menerima tekanan berterusan termasuk tawaran wang tunai dan tajaan percutian ke luar negara bagi mendapatkan keutamaan dalam proses semakan kontrak.

“PAC mengesyorkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan jenayah secara mendalam terhadap pihak yang terlibat dalam cubaan memberikan suapan wang tunai dan tajaan percutian bagi memotong giliran fail semakan di Pejabat PUU,” katanya.

Selain itu, PAC mendapati wujud konflik kepentingan apabila beberapa pegawai UKM memegang jawatan utama dalam KSBB tanpa kebenaran bertulis Ketua Jabatan.

Lebih membimbangkan, nama pegawai terbabit didapati disembunyikan dalam dokumen asal KSBB ketika proses semakan usaha wajar (due diligence) oleh PUU UKM dijalankan.

PAC turut mengenal pasti konflik kepentingan dalam aktiviti promosi bergerak UKMShape apabila lori yang digunakan didaftarkan atas nama syarikat milik anak kandung mantan Pengarah UKMShape.

Dalam perkembangan berkaitan, Mas Ermieyati berkata, KSBB telah memfailkan saman sivil menuntut RM2.496 juta terhadap UKM di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 Mei 2026.

Katanya, UKM pula mengemukakan tuntutan balas berjumlah RM3.44 juta bagi tunggakan yuran serta mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mantan Pengarah UKMShape dan mantan Pengerusi KSBB bagi menanggung liabiliti berkaitan.

Menurutnya, PAC turut mendapati terdapat kelemahan dalam Jawatankuasa Siasatan Dalam (JKSD) UKM apabila pelantikan panel dibuat secara terus oleh Naib Canselor, manakala skop siasatan awal hanya menyasarkan pegawai bawahan tanpa melibatkan pemutus dasar utama termasuk mantan Naib Canselor.

Bagaimanapun, beliau berkata, JKSD kini telah memperluaskan siasatan dengan memanggil pegawai atasan yang berkaitan.

Sehubungan itu, PAC mengemukakan 10 syor utama bagi memperbaiki tadbir urus dan pengurusan kewangan UKM serta universiti awam lain.

Antara syor berkenaan ialah memperkukuh perlindungan pemberi maklumat, memastikan semua perjanjian yang mempunyai implikasi kewangan mendapat kelulusan pihak berkuasa berkaitan serta menghentikan kutipan yuran pelajar oleh pihak ketiga.

PAC turut mengesyorkan supaya semua kutipan hasil dimasukkan sepenuhnya ke dalam akaun rasmi Jabatan Bendahari universiti, selain memperkasakan peranan LPU dan wakil MoF dalam memastikan pematuhan peraturan kewangan.

Syor lain termasuk siasatan terhadap penggunaan aset milik keluarga pegawai universiti, pematuhan peraturan pekerjaan luar, penyelesaian pertikaian akaun antara UKM dan KSBB serta pelantikan jawatankuasa siasatan bebas bagi kes seumpamanya pada masa hadapan.

Selain itu, PAC mencadangkan aktiviti komersial universiti awam dipindahkan ke bawah anak syarikat rasmi seperti UKM Holdings supaya tertakluk kepada audit syarikat komersial, manakala universiti induk kekal mematuhi sepenuhnya peraturan kewangan awam.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, UKM telah mengambil langkah pembetulan dengan menarik balik status UKMShape sebagai Unit Perniagaan Strategik dan mengembalikannya sebagai pusat tanggungjawab biasa yang tertakluk sepenuhnya kepada peraturan kewangan Perbendaharaan.

“Matlamat menjana pendapatan sendiri oleh institusi pendidikan awam tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan ketidakteraturan atau mengabaikan peraturan kewangan kerajaan dan prinsip integriti,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SPRM atas tindakan proaktif menjalankan siasatan serta memulakan prosiding mahkamah terhadap pihak yang terlibat dalam kes salah laku dan penyelewengan berkenaan.

Penyata PAC DR. 35/2026 berhubung perkara itu boleh dimuat turun menerusi laman web rasmi PAC di www.parlimen.gov.my/pac.

BBerkaitan

Latest articles