KUALA LUMPUR: Tindakan mengugut dan menyebarkan fitnah bagi mendapatkan RM400,000 daripada seorang pendakwah bebas membawa padah apabila Mahkamah Tinggi Alor Setar mendapati bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak dan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk terbabit dalam konspirasi berkenaan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Aimi Zaini Mohd Azhar, memutuskan Muhammad Mukhlis Maghribi dan Datuk Zamil Ibrahim bertindak secara bersama untuk menekan Ustaz Ahmad Husam Muhamad Baderudin supaya menyerahkan wang berkenaan.
Dalam penghakiman bertulis setebal 39 muka surat, mahkamah mendapati persepakatan kedua-dua defendan dibuktikan menerusi rakaman audio, pengakuan ketika pemeriksaan balas serta kronologi kejadian selepas Ahmad Husam enggan membuat pembayaran.
Menurut Mohd Aimi, bukti yang dikemukakan menunjukkan kedua-dua individu itu mempunyai matlamat sama untuk mendapatkan RM400,000 daripada plaintif dan bukan sekadar dakwaan tanpa asas.
Mahkamah turut membenarkan keseluruhan tuntutan saman Ahmad Husam yang difailkan pada 14 Disember 2023, manakala keputusan berkenaan dibuat pada 26 Ogos lalu. Penghakiman bertulis itu diterbitkan Jabatan Kehakiman hari ini.
Susulan keputusan itu, kedua-dua defendan diperintahkan membayar ganti rugi berjumlah RM433,000 serta kos guaman RM50,000.
Pertikaian berkenaan bermula pada Mei 2023 apabila Muhammad Mukhlis mendakwa Najib mahu menyambung semula kelas agama bersama Ahmad Husam yang sebelum ini mengendalikan pengajian untuk bekas Perdana Menteri itu ketika berada di Penjara Kajang.
Bagaimanapun, Muhammad Mukhlis kemudian mendakwa pendakwah terbabit tidak boleh mendapatkan kebenaran mengajar kerana kononnya sedang disiasat atas kesalahan pecah amanah, penipuan dan pengubahan wang haram.
Beliau turut mendakwa dua pegawai polis dari Bukit Aman boleh menyelesaikan siasatan itu dengan bayaran RM400,000.
Walaupun Ahmad Husam menolak permintaan tersebut, Muhammad Mukhlis kemudian mendakwa sudah mendahulukan wang berkenaan menggunakan pinjaman daripada adik Najib sebelum menuntut bayaran balik daripadanya.
Mahkamah turut menerima rakaman audio yang menunjukkan Muhammad Mukhlis mengaitkan tuntutan RM400,000 itu dengan ancaman membekukan akaun bank milik isteri serta anak-anak Ahmad Husam.
Bukti lain termasuk rakaman perbualan antara Ahmad Husam dan Zamil di Purest Hotel, Sungai Petani pada 3 November 2024, apabila Zamil mengaitkan Muhammad Mukhlis sebagai individu yang merancang skim berkenaan dengan menyebut, “Kepala dia Mukhlis la”.
Mohd Aimi berkata, tindakan menggunakan dakwaan siasatan pengubahan wang haram, ugutan terhadap ahli keluarga, laporan polis serta penerbitan kenyataan berunsur fitnah membuktikan wujudnya usaha untuk memudaratkan plaintif.
Dalam isu fitnah, mahkamah mendapati Muhammad Mukhlis melabelkan Ahmad Husam sebagai ‘Ustaz Scammer’ menerusi Instagram, manakala Zamil menerbitkan dakwaan berkaitan penipuan, penyelewengan wang zakat dan derma awam serta salah laku seksual.
Mahkamah menolak pembelaan justifikasi dan komen adil yang dikemukakan kedua-dua defendan selepas mendapati dakwaan tersebut tidak dibuktikan dan dibuat dengan niat jahat.
Ahmad Husam, yang memfailkan saman selepas notis tuntutan bertarikh 13 November 2023 tidak mendapat maklum balas, mendakwa penerbitan kenyataan berkenaan bertujuan merosakkan reputasinya dengan menggambarkannya sebagai penunggang agama, penipu dan individu tidak amanah.
Mahkamah akhirnya memberikan RM200,000 sebagai ganti rugi am, RM200,000 ganti rugi teruk dan RM33,000 bagi kehilangan pendapatan susulan pembatalan kelas agama serta jemputan ceramah.
Peguam Ahmad Husam, Muhammad Asyraf Abd Aziz, mengesahkan keputusan berkenaan ketika dihubungi.










