KUALA LUMPUR: Ryt Bank melancarkan ciri pelaburan baharu, Ryt Invest, yang membolehkan rakyat Malaysia mengurus simpanan serta membuat pelaburan terus melalui aplikasi bank digital itu dengan modal permulaan serendah RM1.
Pelancaran tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Opus Asset Management Sdn Bhd (OpusAM) bagi menawarkan akses kepada pelaburan patuh Syariah tanpa caj jualan (0 peratus) secara terus melalui aplikasi Ryt Bank.
Ryt Invest turut diperkenalkan sebagai platform yang menawarkan dana kendalian profesional dengan sokongan pasukan pelaburan berpengalaman lebih 25 tahun serta mengurus aset melebihi RM10 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Interim Ryt Bank, Wilson Soon berkata, inisiatif itu bertujuan membuka akses pelaburan kepada lebih ramai rakyat Malaysia yang sebelum ini mungkin menganggap pelaburan sebagai sesuatu yang rumit atau memerlukan modal yang tinggi.
“Ryt Invest bukan sekadar satu lagi produk pelaburan. Matlamat kami adalah untuk membuka akses pelaburan kepada lebih ramai rakyat Malaysia.
“Bagi ramai rakyat Malaysia, pelaburan sering dianggap rumit, mahal atau terpisah daripada urusan perbankan harian.
“Dengan Ryt Invest, kami membuka akses kepada kepakaran pelaburan yang dipercayai oleh institusi besar melalui aplikasi selamat yang sama digunakan pelanggan untuk menyimpan, berbelanja dan membuat pembayaran,” katanya.
Beliau berkata, platform tersebut menawarkan tiga pilihan pelaburan yang diuruskan secara profesional mengikut keperluan dan tahap toleransi risiko pelanggan.
Antaranya ialah Ryt Invest SavePlus yang memberi tumpuan kepada strategi pelaburan patuh Syariah berisiko rendah dan lebih stabil, selain menawarkan caj jualan sifar.
Selain itu, Ryt Invest Income direka untuk menjana pulangan jangka panjang yang konsisten menerusi pelaburan pelbagai aset, manakala Ryt Invest Gold menyediakan pendedahan kepada pelaburan bertemakan emas sebagai pilihan untuk mempelbagaikan portfolio pelanggan.
Bersempena pelancarannya, Ryt Bank turut menawarkan ganjaran bonus tambahan terjamin sebanyak satu peratus setahun berdasarkan jumlah nilai pelaburan pelanggan tanpa had maksimum untuk tempoh terhad.
Kempen tersebut berlangsung dari 28 Mei hingga 31 Ogos 2026, dengan pelanggan yang melengkapkan pesanan pembelian pertama layak menikmati ganjaran bonus selama 90 hari.
Jelasnya, pelancaran Ryt Invest sejajar dengan usaha syarikat itu untuk menggabungkan fungsi simpanan, perbelanjaan, pembayaran, kredit dan pelaburan dalam satu ekosistem perbankan digital yang lebih bersepadu.










