UMNO Harap Aset Najib Dibekukan Boleh Diguna Bayar Denda RM50 Juta

PARIT: UMNO berharap mahkamah mempertimbangkan penggunaan sebahagian aset milik Datuk Seri Najib Razak yang kini tertakluk kepada perintah pembekuan bagi melunaskan denda RM50 juta dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perkara berkenaan antara usaha yang sedang diambil parti bagi membantu menyelesaikan bayaran denda terbabit.

“Ya, kita mengharapkan supaya pihak mahkamah juga akan mengambil kira perkara ini,” katanya di sidang media selepas majlis penutup Pertandingan Debat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Piala Timbalan Perdana Menteri, hari ini.

Asyraf mengulas cadangan supaya aset atau akaun milik Najib yang dibekukan dipertimbangkan untuk digunakan bagi membayar denda berkenaan.

Pada masa sama, beliau memaklumkan Tabung Solidariti Najib yang dilancarkan UMNO Jumaat lalu terus menerima sumbangan, dengan kutipan dijangka mencecah sekitar RM2 juta hari ini.

Katanya, jumlah itu meningkat secara konsisten dengan anggaran tambahan antara RM40,000 hingga RM50,000 setiap jam.

“Boleh dikatakan untuk setiap jam akan ada antara RM40,000 hingga RM50,000 penambahan kutipan.

“Ini adalah hasil daripada yang kita kutip dan kita tidak mewajibkannya kepada ahli untuk menyumbang. Ia bersifat sukarela bagi sesiapa yang hendak membantu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Asyraf menegaskan UMNO tidak mahu mencampuri kemelut membabitkan institusi Raja dan adat di Negeri Sembilan.

Katanya, perkara itu sewajarnya diselesaikan oleh pihak yang mempunyai kefahaman serta bidang kuasa berkaitan di negeri berkenaan tanpa campur tangan pihak luar.

“Biar orang Negeri Sembilan yang menyelesaikan isu adat mereka, jadi tak perlulah orang luar campur kerana ini institusi Raja dan adat yang mana mereka lebih mengetahui.

“Sebagai parti politik, UMNO pun tidak mencampuri urusan yang membabitkan dua institusi Raja dan adat,” katanya.

Pendirian berkenaan selari dengan kenyataan UMNO sebelum ini bahawa parti itu tidak mahu terlibat secara langsung dalam pertikaian berkaitan institusi Raja dan adat Negeri Sembilan.

BBerkaitan

Latest articles