AMANAH Desak MB Negeri Sembilan Pohon Bubar DUN

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) mendesak Menteri Besar Negeri Sembilan supaya memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu susulan kemelut politik yang berlaku.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, parti itu mengambil maklum pergolakan politik di negeri berkenaan kini mencapai tahap yang sangat kronik.

Beliau berkata, ia susulan tindakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir menarik balik perkenan dan membatalkan pelantikan semua Exco Kerajaan Negeri Sembilan yang dilantik pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 lalu kerana memungkiri sumpah.

“Amanah berpendirian untuk tidak mencampuri kemelut kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan memandangkan urusan tersebut harus diselesaikan mengikut lunas undang-undang, Perlembagaan dan Adat Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Bagaimanapun, AMANAH berpandangan bahawa PRN Negeri Sembilan ke-16 yang diadakan secara mengejut berpunca daripada desakan pihak tertentu yang mahu menurunkan baginda daripada takhta.

Menurutnya, keadaan itu diperkukuhkan dengan proklamasi yang ditandatangani oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ismail Lasim sejurus selepas PRN iaitu pada 3 Ogos lalu, manakala situasi politik bertambah meruncing apabila Menteri Besar menolak titah tersebut secara terbuka.

“AMANAH berpendirian bahawa UMNO gagal untuk menghormati kedudukan institusi diraja Melayu apabila mengambil langkah-langkah menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan seolah-olah satu tindakan coup d’état,” ujarnya.

Tambahnya, tindakan terbabit jelas bertentangan dengan kehendak rakyat Negeri Sembilan kerana PRN yang lalu tidak bertujuan mengganggu gugat kedudukan Yang di-Pertuan Besar.

Justeru, AMANAH menegaskan bahawa pertembungan antara pihak Eksekutif dan Istana adalah bertentangan dengan roh serta prinsip Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, selain percaya pergolakan yang gagal diuruskan dengan baik oleh UMNO boleh menggugat kestabilan pentadbiran kerajaan negeri.

BBerkaitan

Latest articles