KUALA LUMPUR: Sebanyak 41 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan masyarakat sivil dan organisasi kepentingan awam mendesak kerajaan supaya menolak sebarang peruntukan harta intelek TRIPS-plus dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dengan Kesatuan Eropah (EU) yang sedang berlangsung.
Gabungan yang merangkumi pelbagai kumpulan pesakit, persatuan pengguna serta pertubuhan petani itu menegaskan, langkah tersebut kritikal bagi melindungi kesihatan awam, sekuriti makanan serta kepentingan nasional negara.
Menerusi surat terbuka bertarikh 21 September 2026 yang diutuskan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pihak berkenaan menyuarakan kebimbangan mendalam berhubung draf cadangan EU yang didakwa boleh menjejaskan akses rakyat kepada ubat-ubatan mampu milik.
Menurut mereka, cadangan EU yang merangkumi aspek eksklusiviti data dan pemasaran, pelanjutan tempoh paten, rahsia perdagangan, penguatkuasaan, reka bentuk industri, serta perlindungan varieti tumbuhan melangkaui obligasi Malaysia di bawah Perjanjian Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) TRIPS.
“Peruntukan ini akan melengah-lengahkan persaingan ubat generik dan biosimilar secara tidak perlu, selain meningkatkan kos serta menyekat keupayaan Malaysia melaksanakan dasar kepentingan awam,” jelas wakil pertubuhan berkenaan.
Selain isu ubat-ubatan, surat tersebut turut membantah cadangan EU yang mahu Malaysia mematuhi Konvensyen Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu 1991 (UPOV 1991), dengan alasan ia boleh merencatkan hak pesawah dan petani tempatan untuk menyimpan, menukar serta menjual benih tanaman.
Sehubungan itu, kerajaan digesa supaya mempertahankan ruang dasar sedia ada, termasuk mengekalkan Akta Perlindungan Varieti Tumbuhan 2004 (Akta 634) serta memastikan ketelusan dan rundingan bermakna bersama pihak berkepentingan diteruskan sepanjang proses rundingan perdagangan tersebut.










