Hannah Enggan Dedah Perbincangan CEC, Hanya Sahkan Keputusan Loke Tawar Letak Jawatan

PUTRAJAYA: Hannah Yeoh enggan mendedahkan butiran perbincangan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang berlangsung susulan isu pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, termasuk dakwaan ia menyentuh kedudukan menteri DAP dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu berkata, CEC hanya memutuskan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menawarkan diri untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.

Katanya, perbincangan lain dalam mesyuarat berkenaan kekal sebagai urusan dalaman parti dan tidak akan didedahkan kepada umum.

“CEC sudah bermesyuarat lama, pelbagai cadangan diberikan dan pandangan semua pihak didengar.

“Keputusan akhir dan muktamad CEC, sebagai badan pembuat keputusan tertinggi, ialah YB Anthony Loke menawarkan diri untuk meletakkan jawatan.

“Perbincangan lain saya tidak mahu dedahkan kerana ia adalah perbincangan CEC. Kita perlu menghormati keputusan yang dibuat CEC,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau turut akan meletakkan jawatan sebagai anggota Jemaah Menteri.

Loke pada Sabtu mengumumkan tawaran meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan selepas mesyuarat tergempar CEC DAP yang berlangsung hampir tiga jam. Beliau berkata keputusan itu merupakan respons parti terhadap pengampunan bersyarat diberikan kepada Najib, manakala menteri dan timbalan menteri DAP lain kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini memaklumkan beliau akan bertemu Loke untuk mendengar penjelasan sebelum membuat keputusan berhubung tawaran peletakan jawatan itu. Setakat Ahad, Loke juga belum menyerahkan surat peletakan jawatan secara rasmi kepada Perdana Menteri.

Sementara itu, Hannah turut enggan mengulas mengenai minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

“No comment on Lembaga Pengampunan. Soalan lain?” katanya.

Hannah yang juga anggota Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkata demikian selepas mengumumkan pelaksanaan Bazar Deepavali 2026, hari ini.

Jumaat lalu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang bersidang di Istana Negara.

Keputusan itu memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib, membolehkan baki hukuman penjara dijalani melalui tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk antara lain kepada pembayaran denda RM50 juta.

BBerkaitan

Latest articles