KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih belum melunaskan denda RM50 juta yang ditetapkan sebagai syarat utama bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, bayaran denda berkenaan perlu dibuat di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memandangkan kes terbabit bermula dan dibicarakan di mahkamah tersebut.
Memetik laporan Bernama, beliau berkata, setakat ini pihak keluarga Najib masih belum membuat sebarang pembayaran denda.
“Selepas pembayaran dibuat, saya tidak boleh jangka secara tepat bila Najib akan dibawa pulang ke rumah, mungkin ambil sedikit masa,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Beliau menambah, prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan tahanan rumah tersebut akan dikeluarkan oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia.
Sementara itu, tinjauan Bernama di pekarangan Penjara Kajang di sini mendapati tiada sebarang pergerakan luar biasa membabitkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Najib, 73, kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Terdahulu, pada 18 September, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat-syarat lain yang ditetapkan.










