KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijangka menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di ibu negara petang ini.
Turut dijadualkan menghadap baginda ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim.
Pertemuan penting ini menyusuli perkembangan politik di negeri berkenaan selepas Tuanku Muhriz semalam dilaporkan membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (MMKN) berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.
Beliau memaklumkan bahawa berdasarkan Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatannya selagi diperkenan oleh Yang di-Pertuan Besar.
Bagaimanapun, kemelut tersebut mereda apabila Ismail hari ini mengesahkan kesemua 10 ahli MMKN Negeri Sembilan itu masih sah untuk terus menjalankan tugas.
Beliau menegaskan tiada keperluan untuk mengemukakan senarai pelantikan baharu kerana kedudukan exco berkenaan adalah teratur berdasarkan tafsiran perundangan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, khususnya yang berkaitan dengan kuasa eksekutif.










