Pertahanan Negara Tanggungjawab Bersama, Rakyat Barisan Hadapan Hadapi Ancaman Baharu

KUALA LUMPUR, — Rakyat perlu memainkan peranan lebih aktif dalam mempertahankan negara dengan memupuk semangat patriotisme, ketahanan mental dan perpaduan, terutama ketika ancaman keselamatan kini semakin dipengaruhi peperangan hibrid yang menyasarkan pemikiran masyarakat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pertahanan negara tidak lagi boleh dilihat sebagai tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan seluruh rakyat sebagai benteng pertama mempertahankan kedaulatan negara.

Menurut beliau, ancaman moden seperti cognitive warfare atau peperangan kognitif mampu mempengaruhi pemikiran rakyat dan mencetuskan perpecahan, sekali gus melemahkan sesebuah negara tanpa perlu menggunakan kekuatan ketenteraan secara langsung.

“Rakyat bukan sekadar perlu bersedia mengangkat senjata. Mereka perlu mempunyai semangat patriotisme, cintakan negara serta memiliki daya tahan supaya tidak mudah dipengaruhi atau tunduk kepada ancaman luar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026-2030 di Hotel Royale Chulan, di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata kementerian akan memperluaskan usaha mendidik masyarakat mengenai kepentingan pertahanan negara supaya rakyat memahami peranan masing-masing dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan negara.

Katanya, perkembangan teknologi serta landskap keselamatan global menjadikan ancaman terhadap negara semakin kompleks, termasuk melalui penyebaran maklumat, manipulasi persepsi dan cubaan memecahbelahkan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau berkata PSPN 2026-2030 dan RTKP 2026-2030 dibangunkan sebagai pelan tindakan komprehensif bagi memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara, selaras dengan aspirasi yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.

Menurutnya, kedua-dua dokumen itu bukan sekadar menetapkan hala tuju strategik, malah memperincikan kaedah pelaksanaan termasuk aspek pemodenan aset, pembangunan sumber manusia, pengukuhan keupayaan pertahanan dan pengurusan kewangan.

“Kita mahu rakyat sendiri dapat menilai sama ada apa yang kita rancang benar-benar dilaksanakan kerana soal pertahanan bukan perkara yang boleh dipandang ringan,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan pelan itu turut berpandukan tujuh teras strategik yang telah digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan, selain menetapkan petunjuk prestasi yang jelas bagi memastikan setiap inisiatif dapat dilaksanakan secara berkesan.

Mengulas mengenai perolehan aset pertahanan, Mohamed Khaled berkata kerajaan akan terus melaksanakan pembelian aset mengikut keutamaan operasi, di samping memperluaskan pemindahan teknologi dan membangunkan keupayaan industri pertahanan tempatan.

Beliau berkata Malaysia juga kekal berpegang kepada pendekatan diplomasi sebagai asas utama dalam mengekalkan keamanan serantau.

“Di ASEAN dan Malaysia, kita percaya keamanan dicapai melalui dialog, perbincangan dan diplomasi, bukan semata-mata melalui kekuatan ketenteraan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles