Onn Hafiz Rayu Sokongan Pengundi Awal, Mohon Mandat Teruskan Agenda Kemajuan

​KUALA LUMPUR: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membuat rayuan terbuka memohon sokongan dan kepercayaan daripada seluruh warga pasukan keselamatan menjelang hari pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 7 Julai ini.

​Beliau yang memohon mandat berkenaan dengan penuh rendah hati berharap agar anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta seluruh pasukan keselamatan memberikan peluang kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) untuk terus berkhidmat.

​”Berikanlah peluang dan kepercayaan kepada calon-calon Barisan Nasional untuk kami terus berkhidmat, meneruskan usaha yang telah dimulakan dan membawa Johor melangkah lebih jauh demi kesejahteraan seluruh Bangsa Johor.

​”Insya-Allah, sekiranya diberikan mandat sekali lagi, kami akan terus bekerja sehabis baik dan sedaya upaya untuk membalas kepercayaan yang diberikan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

​Onn Hafiz turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa, pengorbanan serta khidmat bakti pasukan keselamatan dalam memelihara keamanan, kestabilan, dan keselamatan negeri serta negara selama ini.

​Sambil mengakui cabaran besar dalam memimpin negeri selatan tanah air itu, beliau menegaskan bahawa setiap kepercayaan yang diberikan oleh rakyat adalah satu amanah berat yang digalasnya dengan penuh tanggungjawab.

​”Saya sedar, amanah memimpin dan mentadbir Johor bukanlah sesuatu yang mudah atau ringan. Setiap kepercayaan yang diberikan oleh rakyat adalah amanah besar yang saya pegang dan pikul dengan penuh rasa tanggungjawab,” ujarnya lagi.

​Beliau mendoakan agar proses pengundian awal berjalan dengan lancar dan dipermudahkan, selain meletakkan harapan tinggi agar kemenangan berpihak kepada BN dalam saingan PRN Johor kali ini.

BBerkaitan

Latest articles