SIC Perketat Pengurusan Trafik, Pengangkutan Pengunjung

KUALA LUMPUR: Sepang International Circuit (SIC) akan memperkukuh pengurusan trafik, perkhidmatan pengangkutan ulang-alik serta kawalan orang ramai susulan cabaran yang dihadapi sebahagian peminat ketika perjalanan keluar dan masuk ke litar pada Jumaat.

Dalam satu kenyataan rasmi pada Sabtu, SIC memaklumkan langkah berkenaan diambil bagi memastikan pengalaman dan keselamatan peminat terus menjadi keutamaan.

Menurut kenyataan itu, pihaknya menyedari kesukaran yang dialami sebahagian peminat ketika melakukan perjalanan pergi dan pulang dari litar, khususnya pada waktu berlepas pada sebelah petang dan malam.

“SIC sedang bekerjasama rapat dengan rakan pengangkutan serta pihak berkuasa berkaitan bagi memperkukuh pengurusan trafik, perkhidmatan ulang-alik dan kawalan orang ramai untuk hari ini,” menurut kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, peminat yang menghadiri acara berkenaan dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal serta mendapatkan maklumat perjalanan terkini menerusi saluran media sosial rasmi SIC.

Peminat juga diminta mematuhi arahan pegawai bertugas dan papan tanda yang disediakan ketika tiba di atau meninggalkan litar.

SIC memaklumkan aturan trafik mungkin diubah dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan semasa.

“Kami berterima kasih kepada semua peminat atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan serta menantikan kehadiran semua untuk menikmati hari yang menyeronokkan dan selamat di Litar Antarabangsa Sepang,” menurut kenyataan itu.

BBerkaitan

Latest articles