KUALA LUMPUR: Kesukaran hidup keluarga, termasuk kehilangan sumber pendapatan selepas ketua keluarga dipenjarakan, antara faktor menyumbang kepada masalah ketidakhadiran murid ke sekolah yang semakin membimbangkan.
Perkara itu didedahkan seorang individu menerusi hantaran di Threads yang berkongsi senarai alasan ketidakhadiran murid Tahun Empat, sekali gus membuka gambaran lebih luas mengenai kesan tekanan ekonomi terhadap kehidupan dan pendidikan kanak-kanak.
Berdasarkan perkongsian berkenaan, antara alasan yang diberikan termasuk masalah kesihatan seperti sakit kepala, demam, muntah dan sakit perut, selain ketidakmampuan keluarga menyediakan wang belanja sekolah selepas bapa kehilangan pekerjaan.
Malah, terdapat murid yang tidak hadir kerana bapanya sudah tidak menerima gaji, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keadaan sebenar keluarga yang berdepan kesempitan hidup.
Perkongsian itu turut mendapat perhatian pengguna media sosial apabila seorang individu berkongsi pengalaman terpaksa berhutang dengan pengusaha kantin bagi memastikan anak-anak yang terlupa membawa wang tetap dapat menikmati makanan di sekolah.
Menurutnya, ada kalanya pengusaha kantin memahami kesukaran murid dan sanggup membenarkan mereka makan terlebih dahulu sebelum bayaran dibuat selepas ibu bapa menerima gaji.
Lebih menyentuh perasaan, seorang lagi pengguna yang mengaku sebagai guru mendedahkan terdapat muridnya tidak hadir ke sekolah selama berbulan-bulan selepas bapanya dipenjarakan dan ibunya pula tidak bekerja.
Katanya, usaha mengesan murid berkenaan sehingga ke rumah juga tidak berhasil, manakala keluarga terbabit dikatakan terpaksa pulang ke kampung kerana tidak lagi mampu menanggung kos sewa rumah.
Beliau turut mengakui kemampuan guru untuk membantu keluarga yang berdepan kesulitan seperti itu agak terbatas kerana masing-masing mempunyai komitmen dan tanggungan sendiri.
Situasi berkenaan memperlihatkan bahawa isu ketidakhadiran murid tidak semestinya berpunca daripada sikap sambil lewa atau kurangnya kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan pendidikan.
Sebaliknya, di sebalik kerusi sekolah yang kosong, mungkin ada anak-anak yang sedang berdepan kesusahan keluarga, termasuk kekurangan makanan, kehilangan tempat tinggal dan ketiadaan wang untuk ke sekolah.
Isu itu sekali gus mengingatkan bahawa usaha memastikan tiada murid tercicir daripada pendidikan memerlukan perhatian menyeluruh, bukan sekadar menilai rekod kehadiran, tetapi turut memahami latar belakang kehidupan mereka.










