‘Jadi Menteri Bukan Untuk Kaya, Saya Masih Pakai Jam Timex’ – Fahmi

SHAH ALAM: Jawatan menteri bukan lesen untuk mengumpul kekayaan atau mengubah kehidupan peribadi, sebaliknya amanah untuk memperbaiki pentadbiran negara dan memastikan rakyat menikmati manfaat daripada dasar kerajaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beliau menerima tanggungjawab itu dengan matlamat membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengurus negara dengan lebih baik, bukannya mengejar kemewahan.

Malah, beliau berkata, kehidupannya tidak banyak berubah sejak memegang jawatan berkenaan, termasuk masih menggunakan jam tangan Timex, kasut Converse dan baju batik serta tidak membeli rumah baharu.

“Saya jadi menteri bukan untuk jadi kaya. Saya masih pakai jam Timex, kasut Converse, baju batik dan saya tidak beli rumah baharu,” katanya ketika berucap pada Program Madani Kita Bersama-sama Komuniti Kota Anggerik di Dewan Melati, Seksyen 7, hari ini.

Beliau turut berseloroh bahawa dirinya juga tidak berkahwin lain sepanjang memegang jawatan itu.

Menurutnya, keutamaan beliau adalah memastikan Kementerian Komunikasi terus mempertingkatkan mutu perkhidmatan, khususnya dalam menyediakan akses Internet yang lebih meluas, mampu milik dan selamat kepada rakyat.

Katanya, kerajaan juga tidak membenarkan pelaksanaan rangkaian 5G dijadikan alasan oleh syarikat telekomunikasi untuk mengenakan caj tambahan yang akhirnya membebankan pengguna.

“Dulu telco nak caj tambahan untuk 5G, tetapi kita kata tidak. Jangan bebankan rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fahmi mengiktiraf pendekatan Selangor yang antara negeri terawal menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada rakyat sebelum inisiatif seumpama itu turut diperkenalkan di Kuala Lumpur.

Katanya, kejayaan sesuatu inisiatif bergantung kepada kesungguhan kepimpinan dalam memastikan perkhidmatan yang disediakan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau turut mengajak rakyat terus memberikan sokongan kepada kepimpinan kerajaan Selangor yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, bersama barisan Exco dan wakil rakyat bagi memastikan kesinambungan pembangunan serta kestabilan pentadbiran negeri.

Pada masa sama, Fahmi menegaskan pendirian menolak sebarang bentuk kleptokrasi dan penyelewengan yang boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi pentadbiran.

“Kita di Selangor menolak kleptokrasi. Jangan kita sayang balik kleptokrat,” tegasnya.

Beliau berkata, pentadbiran yang stabil, telus dan berintegriti menjadi asas penting untuk memastikan pembangunan negara dapat diteruskan tanpa mengabaikan kepentingan rakyat.

Fahmi turut menyatakan harapan agar rakyat terus memberikan sokongan kepada Anwar untuk menerajui kerajaan, termasuk bagi meneruskan pentadbiran untuk penggal kedua.

BBerkaitan

Latest articles