PAS Boleh Guna Logo BN Di Melaka, Tetapi Bukan Semua Parti Dialu-alukan – Khaled

KUALA LUMPUR: Kesediaan PAS bertanding menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disambut baik UMNO, namun parti itu memberi isyarat jelas bahawa pintu kerjasama tidak terbuka kepada semua parti dalam Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mana-mana pihak yang berhasrat menggunakan logo BN perlu terlebih dahulu melalui tapisan serta mematuhi keputusan dan ketetapan asas yang diputuskan parti itu.

Beliau menegaskan, keterbukaan UMNO menerima penyertaan pihak lain tidak bermakna semua parti boleh menggunakan logo gabungan berkenaan sesuka hati.

“Kalau mana-mana pihak bersedia untuk bertanding menggunakan logo BN, sangat-sangat kita alu-alukan.

“Tetapi haruslah bersandarkan kepada keputusan-keputusan pokok,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada keterbukaan itu turut meliputi parti lain dalam PN termasuk Parti Wawasan Negara (Wawasan), Khaled tidak memberikan pengesahan sebaliknya memberi bayangan bahawa UMNO mempunyai pertimbangan tersendiri dalam menentukan pihak yang boleh bekerjasama.

“Siapa nak datang rumah kita, orang yang kita sukalah. Bukan semua orang,” katanya.

Kenyataan itu hadir ketika rundingan kerjasama antara UMNO dan PAS bagi menghadapi PRN Melaka dilaporkan semakin hampir dimuktamadkan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semalam memaklumkan rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti sudah mencapai kira-kira 90 peratus sebelum dikemukakan kepada kepimpinan masing-masing untuk pengesahan akhir.

Malah, PAS turut menyatakan kesediaan menggunakan logo BN sekiranya langkah itu dapat menjadi penyelesaian kepada pemuktamadan kerjasama berkenaan, selaras dengan pendirian Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

Perkembangan itu turut memberi dimensi baharu kepada kedudukan PN menjelang PRN Melaka, khususnya susulan penggantungan sementara aktiviti gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) berkuat kuasa 23 September lalu.

Penggantungan berkenaan dibuat susulan aduan daripada Bersatu, dengan PN diminta memberikan penjelasan terhadap beberapa persoalan yang dibangkitkan agensi terbabit.

Sebelum ini, timbul cadangan supaya parti-parti komponen PN menggunakan logo berbeza sekiranya penggantungan aktiviti gabungan itu masih berterusan ketika pilihan raya berlangsung.

Selain PAS dan Wawasan, PN turut dianggotai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Gerakan.

Dalam masa sama, kedudukan Bersatu dalam gabungan itu turut menjadi perhatian susulan keretakan hubungan dengan PAS, selain keputusan parti berkenaan menggunakan logo sendiri ketika bertanding pada PRN Negeri Sembilan.

BBerkaitan

Latest articles