KUALA LUMPUR: Seorang penunggang motosikal yang dipercayai cuba melarikan diri daripada polis secara melawan arus sebelum merempuh dua peserta Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon (SCKLM) 2026 di Jalan Munshi Abdullah di sini, awal pagi tadi, didapati positif alkohol.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 6.15 pagi membabitkan penunggang motosikal lelaki berusia 21 tahun bersama pembonceng berusia 19 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki kedua-dua lelaki berkenaan melepasi laluan yang ditutup menggunakan kon ketika acara SCKLM 2026 sedang berlangsung.
“Penunggang telah diarahkan berhenti oleh anggota polis yang sedang menjalankan penugasan penutupan jalan, namun dipercayai bertindak melarikan diri secara melawan arus sebelum melanggar dua peserta marathon yang sedang berlari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat kejadian itu, seorang peserta wanita berusia 50 tahun mengalami kecederaan di bahagian leher dan sedang menerima rawatan di Prince Court, manakala seorang peserta lelaki berusia 41 tahun mengalami kecederaan pada lutut kanan dan tangan.
Mohd Zamzuri berkata, saringan awal alkohol terhadap penunggang motosikal berkenaan menunjukkan keputusan positif dengan bacaan Evidential Breath Alcohol (EBA) sebanyak 164 miligram bagi setiap 100 mililiter (mg/100ml).
Penunggang dan pembonceng kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi pengambilan sampel darah serta air kencing untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Menurut polis, penunggang motosikal itu direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 5 Oktober, manakala pembonceng direman selama dua hari sehingga 4 Oktober.
Kedua-duanya kini ditahan di Lokap Balai Polis Dang Wangi bagi membantu siasatan.
Polis meminta orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.










