KOTA TINGGI: Semua anggota Batalion Malaysia (Malbatt) yang sedang berkhidmat di Lubnan dijadualkan mula dibawa pulang ke tanah air pada Januari 2027 susulan penamatan mandat Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) pada penghujung tahun ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, proses pengunduran anggota tentera Malaysia itu akan dilaksanakan secara berperingkat menerusi beberapa penerbangan, manakala aset ketenteraan akan dibawa pulang menggunakan kapal laut bermula 17 Januari depan.
Beliau berkata, semua batalion yang beroperasi di negara berkenaan dijadual menamatkan penugasan masing-masing pada akhir Disember ini, selaras dengan keputusan menamatkan mandat misi pengaman Unifil.
“Anggota kita dijangka mula pulang pada Januari tahun depan melalui beberapa penerbangan, manakala aset ketenteraan Malaysia pula akan dibawa pulang menggunakan kapal bermula pada 17 Januari,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Asrama Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi, di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, Khaled menegaskan Malaysia terbuka untuk menyertai misi pengaman baharu di Lubnan sekiranya menerima permintaan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang penyertaan Malaysia bergantung sepenuhnya kepada keputusan serta mandat yang ditetapkan PBB dan bukannya menerusi operasi ketenteraan di luar kerangka badan dunia itu.
“Jika PBB memutuskan untuk menubuhkan pasukan baharu atas apa jua nama sekalipun dan memerlukan penglibatan kita, Malaysia bersedia untuk menyertainya.
“Namun, perkara itu tertakluk kepada keputusan PBB. Kita tidak akan terlibat dalam sebarang operasi yang tidak berada di bawah mandat badan dunia berkenaan,” katanya.
Mengulas situasi keselamatan di Lubnan, Khaled berkata keadaan di negara itu masih bergolak dan berdepan pelbagai ancaman berdasarkan perkembangan yang dibincangkan ketika lawatan kerjanya ke negara berkenaan baru-baru ini.
Katanya, perkara itu turut dibangkitkan dalam pertemuan bersama rakan sejawatnya di Lubnan yang berkongsi perkembangan semasa serta cabaran keselamatan di negara berkenaan.
Beliau turut memaklumkan persidangan PBB yang sedang berlangsung menyaksikan sebahagian besar negara penyumbang kepada misi pengaman itu menyuarakan pandangan supaya keputusan menamatkan Unifil dikaji semula.
Untuk rekod, penglibatan tentera Malaysia dalam misi pengaman di Lubnan bermula pada 2007 dalam skala kecil sebelum PBB meluluskan penugasan pada peringkat satu batalion penuh pada 2013.










