Menteri Dikompaun Tak Perlu Letak Jawatan

SHAH ALAM: Kedudukan atau latar belakang tidak membezakan mana-mana individu untuk dikenakan kompaun jika didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sambil berkata, begitu juga dengan jemaah Menteri.

Ini sekaligus menunjukkan kerajaan tidak membezakan mana-mana individu jika melakukan kesalahan.

“Yang pentingnya tindakan diambil, maknanya kerajaan tidak membezakan antara individu yang melakukan kesalahan.

“Dia boleh jadi Menteri, dia boleh jadi timbalan menteri, dia boleh jadi ketua jabatan, dia boleh jadi sesiapa sahaja.

“Tiada konsep orang atas, kayangan tak kena kompaun, orang bawah sahaja kena kompaun.

“Siapa pun melakukan kesalahan, melanggar SOP akan dikena kompaun termasuk menteri pertahanan atau sesiapa sahaja,” katanya ketika pemberita di Universiti Management & Science (MSU), pagi ini, selepas merasmikan Majlis Pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 anjuran Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ismail Sabri mengulas desakan beberapa pihak termasuk Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh supaya Menteri Kanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meletak jawatan kerana melanggar SOP dalam satu majlis MIC di Johor, semalam.

Ia susulan penularan video yang menunjukkan pemimpin Barisan Nasional (BN) itu meredah kerumunan hadirin pada majlis pelancaran briged MIC Johor di Kota Iskandar, Johor semalam.

Antara pemimpin yang dilaporkan hadir pada majlis itu selain Hishammuddin, ialah Pemangku Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, kesalahan melanggar SOP bukan satu jenayah dan tiada keperluan untuk mana-mana Menterinya meletakkan jawatan kerana perkara itu.

“Langgar SOP bukannya jenayah, tiada kena mengena dengan jenayah. KKM sudah mengeluarkan kompaun.

“SOP ini penting tetapi bukan kesalahan apabila dikompaun kena letak jawatan, kena berhenti.

“Kalau tidak pegawai-pegawai kerajaan, kakitangan kerajaan ramai yang sudah kena ini.

“Jadi semua kena letak jawatan, jadi tak bolehlah,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles