KUALA LUMPUR: Polis menafikan dakwaan bahawa sebuah kenderaan peronda bertindak sebagai ‘escort’ atau pengiring kepada kenderaan yang digunakan sekumpulan individu untuk mencuri kabel di Ampang.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin, menegaskan dakwaan kononnya berlaku persekongkolan antara anggota polis dengan pencuri kabel adalah tidak benar.
Beliau berkata, lampu pada kenderaan peronda berkenaan dibuka mengikut prosedur operasi standard (SOP), manakala polis turut bertindak selepas menerima maklumat mengenai kegiatan mencuri kabel itu.
“Dakwaan bersekongkol adalah tidak benar,” katanya ketika mengulas dakwaan yang tular di media sosial, seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Dalam kejadian awal pagi semalam, polis menahan seorang lelaki yang dipercayai cuba menarik keluar kabel dari lurang menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kampung Tasik Tambahan, Ampang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid, berkata pihaknya menerima panggilan orang awam kira-kira jam 3.59 pagi berhubung sekumpulan individu yang disyaki mencuri kabel berhampiran sebuah masjid.
Susulan maklumat itu, sepasukan polis digerakkan ke lokasi sebelum menahan seorang suspek untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379, Seksyen 431A dan Seksyen 124K Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Polis pada masa sama mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat atau menyebarkan dakwaan yang tidak disahkan, khususnya berkaitan tindakan penguat kuasa, kerana ia boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan siasatan.










