Lelaki Gantung Diri Selepas Tikam Isteri Dan Bapa Mertua

Seorang lelaki nekad menamatkan riwayat hidupnya sendiri selepas menikam isteri dan bapa mertuanya di rumah mereka di Bangi, awal pagi Khamis.

Kejadian itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan selepas pihak polis menerima satu laporan polis tentang satu kejadian perselisihan faham suami isteri yang masing-masing berumur dalam lingkungan 40-an pada kira-kira pukul 12.03 tengah malam.

“Menurut mangsa, perselisihan faham itu berlaku malam Rabu apabila dia mendakwa dipukul dengan kayu oleh suaminya di belakang badan selain ditumbuk di kepala dan perut.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami lebam di belakang badan dan punca perselisihan faham berkenaan dipercayai akibat isu kewangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, selepas laporan dibuat di balai, mangsa bersama bapanya dan suspek menaiki kereta pulang ke rumah bagi mengambil dokumen untuk mendapatkan rawatan di hospital.

“Kedua-duanya cuba menyelesaikan masalah secara damai. Mangsa dan suspek dalam keadaan tenang dan tiada apa-apa konfrantasi selepas keluar dari balai.

“Mereka juga ditemani bapa mangsa semasa berada di dalam kereta. Suspek juga tidak menunjukkan apa-apa tindakan agresif,” katanya.

Bagaimanapun, sebaik tiba di rumah, katanya, suspek terus berlari masuk ke dalam rumah dan mengambil pisau lalu menikam mangsa dan bapa mentuanya.

Katanya, akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Hasil maklumat diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bergegas ke lokasi dan mendapati pintu rumah dalam keadaan berkunci.

“Pihak polis terpaksa memecah masuk ke dalam rumah apabila suspek tidak membuka pintu. Pemeriksaan di dalam rumah berkenaan menemui mayat suspek dalam keadaan tergantung dengan kain cadar yang diikat pada kipas siling di bilik tingkat bawah kediaman itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan senjata, manakala kematian suspek diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – TRI

BBerkaitan

Latest articles