JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Kerajaan Persekutuan kini menanggung beban hampir RM1 bilion setahun bagi melunaskan hutang FELDA yang menurutnya berpunca daripada kelemahan pengurusan pentadbiran terdahulu.
Anwar berkata, komitmen itu terpaksa dipikul kerajaan bagi memastikan kebajikan peneroka terus terpelihara dan mereka tidak menanggung akibat daripada kesilapan pengurusan yang berlaku sebelum ini.
Katanya, FELDA pernah diurus dengan baik, namun keadaan berubah selepas berlaku pertukaran kepimpinan sehingga menjejaskan institusi itu serta memberi kesan kepada kehidupan para peneroka.
“Tiap-tiap tahun kerajaan perlu membayar hampir RM1 bilion hutang FELDA. Apa salah peneroka? Mereka tidak sepatutnya menanggung beban akibat kelemahan pengurusan,” katanya ketika menghadiri Dialog Terbuka Belia Johor di FELDA Ulu Tebrau, malam tadi.
Dalam pada itu, Anwar turut menyuarakan keyakinan Johor mampu muncul sebagai hab ekonomi bertaraf antarabangsa menerusi pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), malah berpotensi menjadi seperti Shenzhen di China.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pembangunan mega seperti RTS Link, ART dan kemasukan pelaburan berbilion ringgit tidak seharusnya menyebabkan golongan berpendapatan rendah dipinggirkan.
Menurutnya, kerajaan negeri perlu lebih prihatin terhadap kebajikan rakyat agar kemajuan ekonomi dapat dinikmati secara menyeluruh, khususnya oleh masyarakat luar bandar dan golongan yang memerlukan.
Program itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah Anwar sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung pada 11 Julai ini.










