KUALA LUMPUR: Limpahan manfaat dan kejayaan besar Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) adalah hasil kerja keras kolektif pelbagai pihak, dan bukannya sesuatu yang sepatutnya dikreditkan kepada individu tertentu sahaja.
Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir berkata segala angka dan perkembangan semasa membuktikan bahawa pelaksanaan JS-SEZ tidak pernah tertangguh, malah berjalan dengan amat baik serta sedang diterjemahkan kepada bentuk pelaburan dan projek fizikal yang realistik, bukannya sekadar kekal di peringkat dokumentasi.
”Terlalu banyak insan, agensi, dan organisasi yang sama-sama bergandai bahu menjayakan JS-SEZ. Apa yang lebih penting, kita dapat menuai kebaikannya untuk manfaat orang ramai, bukan sahaja bagi negeri Johor tetapi juga untuk seluruh Malaysia,” katanya bagi mengulas kenyataan yang dibangkitkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berhubung status terkini zon ekonomi berkenaan baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai prestasi zon ekonomi tersebut, beliau mendedahkan bahawa pada tahun 2025 sahaja, JS-SEZ telah mencatatkan sebanyak RM76.98 bilion pelaburan yang diluluskan, dengan 57 peratus daripada jumlah kumulatif tersebut kini sudah pun berada di peringkat pelaksanaan.
Momentum positif itu diteruskan lagi pada suku pertama tahun 2026 dengan tambahan pelaburan diluluskan sebanyak RM54.9 bilion.
Malah bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, Pusat Fasilitasi Pelaburan Malaysia (IMFC) Johor telah menguruskan sebanyak 285 pertanyaan minat pelabur dengan potensi pelaburan terkumpul yang dikenal pasti bernilai RM74.12 bilion.
Jelas Akmal, pasaran JS-SEZ kini tidak lagi terhad kepada kerjasama dengan Singapura semata-mata, malah rantaiannya sedang diperluas secara agresif ke peringkat global melalui siri rundingan rancak bersama pelbagai kuasa ekonomi dunia.
”Kita sedang rancak meningkatkan kerjasama untuk membawa masuk lebih banyak negara ke JS-SEZ. Baru beberapa hari lepas, saya telah bertemu dengan Duta Itali, pelabur-pelaburnya, serta kumpulan dari Eropah dalam Forum Eksekutif JS-SEZ,” jelas beliau.
Beliau menambah, siri pertemuan strategik turut diadakan melibatkan delegasi dari Perancis, Jerman, negara-negara Nordik, Taiwan, Kanada, serta wakil diplomatik daripada 35 buah negara yang berpangkalan di Singapura.
Perkembangan ini berjalan seiring dengan persediaan rapi bagi menjayakan operasi sistem Transit Aliran Cepat (RTS) Johor-Singapura yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun hadapan.










