Isham Hargai Sokongan KJ

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil berterima kasih kepada bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin kerana menyokong pandangan beliau.

Ia susulan kenyataan Isham berkenaan kerjasama antara UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) di dalam pilihan raya adalah isu berasingan, dan sama sekali tidak merangkumi titah Yang di-Pertuan Agong dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Terima kasih KJ,” kata Isham sambil berkongsi hantaran yang dibuat oleh Khairy yang menyindir Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengenai perkara tersebut.

Sebelum itu, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau menyindir Anthony seolah-olah lebih mengetahui apa yang dikehendaki oleh akar umbi UMNO.

“Hebat Setiausaha Agung DAP sekarang dah boleh cakap bagi pihak UMNO. Sedangkan pandangan saudara Isham Jalil itu saya rasa mewakili perasaan majoriti akar umbi parti UMNO.

“Nanti akan ada yang komen ‘KJ tahu apa, dia bukan ahli UMNO pun’. Ya, Setiausaha Agung DAP lebih tahu pandangan orang UMNO berbanding saya dan Isham Jalil,” kata Khairy.

Anthony yang juga Menteri Pengangkutan sebelum ini menyifatkan cadangan supaya UMNO bertanding sendiri dalam pilihan raya tanpa PH hanyalah pendapat peribadi Isham.

Menurut Anthony, cadangan yang dikemukakan Isham bukanlah pendirian rasmi parti UMNO.

“Itu Isham Jalil yang cakap, bukan UMNO yang cakap…dia tidak mewakili UMNO, dia hanya salah seorang pemimpin sahaja,” kata Anthony.

Dalam kenyataan berasingan, Isham mempertahankan pandangannya yang didakwa beliau mewakili suara akar umbi.

“Jika mahu tahu secara tepat apa yang akar umbi UMNO mahu, YB boleh minta kepada kawan-kawan pro-DAP YB dalam UMNO untuk buat referendum dan tanya tiga juta akar umbi UMNO sama ada mereka mahu bekerjasama dengan DAP atau tidak,” katanya.

Sementara itu desas-desus kononnya Isham bakal dipecat hari ini dari UMNO sudah hangat diperkatakan.

BBerkaitan

Latest articles