Ibadah Di Surau dan Masjid Akan Dibenarkan, Tunggu Arahan Kerajaan

Orang ramai pasti masih tertanya-tanya apakah keputusan kerajaan tentang menjalankan ibadah di surau dan masjid selepas mengetahui perkara berkaitannya dibincangkan di peringkat kerajaan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata semua aktiviti ibadah akan dibenarkan semula sebaik sahaja kerajaan berpuas hati dan meluluskan penggunaan garis panduan ibadah yang disediakan.

Beliau berkata, garis panduan tentang pelaksanaan ibadah sudah pun siap.

Dr Zulkifli berkata perkara itu sudah pun dibentang dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali keempat pada Khamis lepas.

“Ya, jika kerajaan berpuas hati dengan garis panduan disediakan, juga tahap kerjasama dan keprihatinan rakyat secara umumnya sepanjang PKPB disamping mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam senarai soalan lazim (FAQ) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) portfolio kementerian beliau.

Menurut beliau, pertimbangan utama kerajaan kepada memberikan kebenaran itu kelak adalah bergantung kepada tahap kesiapsiagaan pihak berkuasa agama, pentadbiran masjid dan surau serta persediaan teknikal mesti berada di tahap terbaik.

“Pertimbangan utama kerajaan melihat kepada kesiapsiagaan dan persediaan teknikal semua pihak iaitu Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri sebagai badan berautoriti dan pihak berkuasa utama negeri dalam hal ehwal pentadbiran agama serta persediaan masjid dan surau di tahap terbaik,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan garis panduan itu juga tertakluk kepada arahan kerajaan dari semasa ke semasa serta kebenaran dari KKM dan MKN.

“Buat masa ini, berdasarkan pertimbangan pihak berwajib, kerajaan memutuskan sebarang bentuk aktiviti agama berjemaah di masjid dan surau masih dilarang dalam tempoh PKPB,” katanya.

Katanya, larangan itu termasuk ketika PKPB ini, sudah mendapat nasihat dan pandangan mufti yang disampaikan melalui MKI, diadakan sebanyak empat kali sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – TRI

BBerkaitan

Latest articles