Geran Interim RM1.5 Bil Bukti Komitmen Putrajaya Terhadap Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik pengumuman kerajaan Persekutuan yang meningkatkan geran khas interim kepada Sabah sebanyak RM1.5 bilion, sambil berharap dana berkenaan dapat disalurkan segera bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat.

Menurut beliau, keputusan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mencerminkan kesungguhan kerajaan Persekutuan dalam memenuhi tanggungjawab serta komitmen terhadap Sabah, khususnya berkaitan pelaksanaan hak-hak negeri yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut menghargai jaminan yang diberikan Anwar semasa merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri bahawa Putrajaya akan terus menghormati dan melaksanakan perkara-perkara yang dipersetujui dalam MA63.

“Ini menunjukkan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan berusaha menunaikan janji yang telah dibuat kepada rakyat Sabah.

“Kerajaan negeri akan terus menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan segala peruntukan di bawah MA63, termasuk isu pemberian khas 40 peratus hasil negeri, dapat direalisasikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Anwar mengumumkan kenaikan geran khas interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sebagai langkah sementara sementara mekanisme pelaksanaan tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada negeri itu dimuktamadkan.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa komitmen kerajaan terhadap pembayaran hak hasil 40 peratus kepada Sabah telah pun dibincangkan dan dipersetujui di peringkat Jemaah Menteri serta diumumkan secara rasmi di Parlimen.

Namun, menurut beliau, isu utama ketika ini adalah berkaitan kaedah pelaksanaan yang masih memerlukan penelitian lanjut.

Perkembangan itu hadir selepas Mahkamah Rayuan pada bulan lalu membenarkan permohonan kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan pembayaran hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah, sementara proses rayuan berlangsung.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali sebelum ini menyifatkan pengiktirafan Anwar terhadap hak Perlembagaan Sabah sebagai satu langkah positif yang mampu memperkukuh usaha kerajaan negeri dalam mempercepatkan agenda pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

BBerkaitan

Latest articles