Dakwaan ‘Pintu Belakang’ IPTA: Haim Hilman Ke Mahkamah Seremban Esok

SEREMBAN — Exco Kerajaan Negeri Kedah, Haim Hilman Abdullah, memaklumkan beliau akan hadir ke Mahkamah Majistret Seremban pada pagi esok bagi menghadapi pertuduhan yang dipercayai berkaitan kenyataannya berhubung sistem kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Haim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra berkata beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada proses perundangan yang sedang berjalan.

Dalam kenyataan menerusi Facebook, beliau menegaskan akan terus mempertahankan pendiriannya berhubung isu akses pendidikan tinggi yang dibangkitkan sebelum ini.

“Insya-Allah saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada proses perundangan dan akan terus bersuara sehingga kebenaran ditegakkan serta peluang pendidikan yang adil untuk anak-anak Malaysia tanpa mengira bangsa terbela,” katanya.

Sebelum ini, Haim menyatakan kesediaan untuk mempertahankan kenyataannya di mahkamah selepas Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap beliau.

Menurut Haim, beliau menghormati hak kementerian untuk mengambil tindakan, namun tidak bercadang menarik balik kenyataan yang dibuat.

“Jika KPT memilih untuk membawa perkara ini ke mahkamah, saya bersedia menjawabnya dengan data, fakta dan bukti,” katanya.

Pada 15 Jun lalu, KPT memaklumkan sedang meneliti tindakan perundangan terhadap Haim susulan kenyataan yang dibuat menerusi satu rakaman video sempena Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan pada 13 Jun.

Dalam kenyataan itu, Haim didakwa membuat dakwaan mengenai sistem kemasukan ke IPTA, termasuk mendakwa terdapat puluhan ribu pelajar memasuki institusi berkenaan melalui saluran yang disifatkannya sebagai “pintu belakang”.

Beliau juga didakwa menyatakan bahawa terdapat tempat pengajian di universiti awam yang diberikan kepada individu tertentu berdasarkan kemampuan kewangan.

KPT bagaimanapun menegaskan dakwaan berkenaan adalah tidak berasas, berniat jahat serta berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti institusi pendidikan tinggi awam negara.

BBerkaitan

Latest articles