Cipta Sejarah Di Perling – Zahid Mahu Undi Kaum India Buat Selvan

JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa masyarakat India di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling bersatu memberikan sokongan kepada calon MIC, Pannir Selvam, bagi mencipta sejarah sebagai wakil rakyat India pertama di kerusi berkenaan.

Menurut beliau, hampir 14,900 pengundi India di Perling memiliki peranan besar untuk menentukan kejayaan itu, sekali gus membuktikan penyertaan masyarakat India dalam kepimpinan politik Johor terus diperkukuhkan.

“Jika masyarakat India memberi sokongan sepenuhnya, Pannir Selvam akan menjadi ADUN berketurunan India pertama di Perling. Inilah sejarah yang kita mahu lakarkan bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat India di Perling Mall, malam ini.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid menyeru semua parti komponen BN yang mewakili masyarakat India termasuk MIC, PPP, IPF dan Makkal Sakti supaya mengenepikan sebarang perbezaan demi memastikan kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau turut mengingatkan bahawa kemenangan calon MIC bukan hanya bergantung kepada undi masyarakat India, malah memerlukan sokongan pengundi daripada semua kaum termasuk masyarakat Melayu.

Katanya, semangat kerjasama antara kaum yang menjadi teras BN perlu diterjemahkan di peti undi bagi memastikan kerusi Perling kekal memihak kepada gabungan berkenaan.

Pada masa sama, Ahmad Zahid melahirkan keyakinan BN bukan sahaja mampu mempertahankan 40 kerusi yang dimenangi pada PRN Johor 2022, malah berpeluang meningkatkan jumlah kemenangan pada PRN kali ini.

Beliau berkata, seluruh jentera parti perlu menggandakan gerak kerja kempen, khususnya melalui pendekatan turun padang dan kunjungan dari rumah ke rumah bagi mendekati seramai mungkin pengundi.

“Kita bukan sekadar mahu mempertahankan pencapaian lalu, tetapi mahu melepasi angka 40 kerusi supaya Johor terus menikmati kestabilan politik yang lebih kukuh,” katanya.

Mengakhiri ucapannya, Ahmad Zahid turut meniup semangat kepada Pannir Selvam agar memanfaatkan baki tempoh kempen dengan bekerja keras dan bijak.

Beliau turut memberi bayangan bahawa calon MIC itu bakal memikul tanggungjawab yang lebih besar sekiranya berjaya menawan kerusi DUN Perling pada 11 Julai ini.

BBerkaitan

Latest articles