Bersatu Gerak Sendiri Hadapi PRN Johor, Enggan Tunggu Ketetapan PN

JOHOR BAHRU: Bersatu menggerakkan jentera pilihan rayanya lebih awal bersama parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) serta Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, susulan kelewatan kepimpinan tertinggi gabungan itu menetapkan hala tuju dan strategi kempen.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sehingga kini Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, masih belum memanggil mesyuarat khusus bagi menyelaras gerak kerja PRN Johor walaupun lebih dua minggu telah berlalu sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan.

Menurut beliau, Bersatu tidak boleh terus menunggu keputusan atau arahan daripada mana-mana pihak kerana kelewatan membuat persiapan hanya akan memberi kelebihan kepada lawan menjelang hari pengundian.

“Jentera Bersatu sudah mula digerakkan dan turun bertemu rakyat. Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga telah memulakan siri jelajah ke seluruh Johor serta Negeri Sembilan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Bersatu akan terus melaksanakan gerak kerja bersama rakan-rakan komponen yang bersedia, tanpa menunggu sebarang ketetapan yang masih belum dimuktamadkan oleh kepimpinan PN.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Faizal memaklumkan Bersatu turut mengadakan perbincangan serta penyelarasan jentera dengan parti Muda dan Pejuang sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh persediaan menghadapi PRN.

Kemelut dalam PN dilihat berterusan selepas PAS mengambil keputusan menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu.

Situasi itu menjadi semakin rumit apabila Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengumumkan bahawa Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang dipimpin Datuk Seri Hamzah Zainudin dibenarkan menggunakan logo PN pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Hamzah sebelum ini merupakan Timbalan Presiden Bersatu sebelum dipecat daripada parti berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian bagi PRN Johor berlangsung pada 11 Julai depan, manakala rakyat Negeri Sembilan akan menunaikan tanggungjawab mereka pada 1 Ogos.

BBerkaitan

Latest articles