Anwar Tegur Onn Hafiz – Jangan Kejar Projek Mega, Dengar Masalah Rakyat

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepimpinan kerajaan negeri Johor supaya tidak terlalu memberi perhatian kepada projek pembangunan berskala besar sehingga mengabaikan keperluan asas yang masih membelenggu rakyat.

Menurut beliau, pembangunan mega seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Sistem Transit Rapid (RTS) sememangnya penting, namun isu melibatkan kemudahan asas di kampung, penempatan FELDA dan kawasan perumahan rakyat perlu diberi keutamaan oleh kerajaan negeri.

Katanya, Kerajaan Persekutuan telah memainkan peranan memastikan pelaksanaan projek strategik bernilai puluhan bilion ringgit di Johor, justeru kerajaan negeri perlu memberi fokus kepada penyelesaian masalah yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.

“Saya selalu pesan kepada Menteri Besar, jangan fikir projek besar sahaja. JS-SEZ, RTS dan pelaburan berbilion ringgit itu kerajaan Persekutuan uruskan. Tetapi jalan kampung, surau, rumah rakyat dan rumah generasi kedua FELDA itu tanggungjawab kerajaan negeri.

“Saya pergi lihat sendiri rumah kos rendah, keadaannya amat daif sedangkan ia di bawah milik kerajaan negeri. Perbaikilah keadaan rakyat,” katanya ketika berucap pada Program Dialog Terbuka Belia Johor di FELDA Ulu Tebrau, Sabtu.

Anwar berkata, Johor menerima peruntukan pembangunan yang lebih besar berbanding beberapa negeri lain kerana memiliki potensi besar sebagai hab pertumbuhan ekonomi serantau, sekali gus memerlukan pengurusan pembangunan yang lebih seimbang.

Beliau turut mengingatkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya mentadbir negeri secara adil dan memastikan manfaat pembangunan turut dirasai oleh masyarakat di luar kawasan bandar.

Menurutnya, meskipun Johor Bahru berkembang pesat dengan pelbagai projek moden, masih terdapat kawasan yang mundur dan serba kekurangan hanya dalam jarak perjalanan singkat dari pusat bandar.

“Johor Bahru membangun dengan begitu pesat dan menjadi antara bandar yang membanggakan di rantau ini. Tetapi setengah jam dari situ masih ada kawasan yang daif. Jurang seperti ini mesti ditangani,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menyeru golongan muda supaya memilih pemimpin yang berintegriti dan berani menyuarakan kepentingan rakyat, bukannya memainkan sentimen perkauman.

Beliau berkata, setiap isu yang dibangkitkan rakyat, termasuk keadaan perumahan, kemudahan di FELDA, masjid serta sekolah yang uzur, perlu disampaikan secara berhemah kepada institusi berkaitan termasuk pihak istana.

“Saya menghadap Pemangku Sultan Johor dengan penuh hormat. Dalam sistem raja berperlembagaan, kita wajib menjunjung institusi itu. Tetapi pada masa sama saya tetap menyampaikan suara rakyat mengenai masalah yang mereka hadapi kerana itu amanah yang diberikan kepada saya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles