Ada Yang Tak Kena Dengan Senarai Calon UMNO PRN Johor

JOHOR BAHRU: Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memberi isyarat wujudnya hal yang kurang menyenangkan dalam UMNO Johor apabila meluahkan kebimbangannya menjelang pengumuman rasmi senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026.

Ahli politik yang menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit itu berkata, beliau mempunyai pandangan tersendiri terhadap susunan calon yang bakal diketengahkan dan akan mendedahkan perkara penting pada 27 Jun ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Mohd Puad menyatakan situasi semasa dalam UMNO Johor menimbulkan keresahan, namun menegaskan beliau tidak akan berundur daripada prinsip perjuangannya.

“Hari ini BN Johor akan mengumumkan calon-calon PRN. Apa yang berlaku dalam UMNO Johor ketika ini amat membimbangkan.

“Saya tidak akan berpatah balik walaupun hanya seorang insan biasa,” katanya.

Kenyataan tersebut hadir ketika spekulasi terus berlegar mengenai kedudukannya selepas beliau sebelum ini mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit pada pilihan raya negeri kali ini.

Menurut Mohd Puad, keputusan itu dibuat kerana faktor usia serta kepercayaannya bahawa sudah tiba masanya kepimpinan muda yang mempunyai pendidikan dan latihan yang baik diberi ruang untuk mengambil alih peranan lebih besar.

Beliau berkata, pendiriannya itu telah dinyatakan secara terbuka beberapa hari lalu, namun pandangan yang dibawa tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Katanya, keadaan itu mendorong beliau mengambil langkah yang disifatkan sebagai satu tindakan berani dalam politik bagi memastikan perjuangannya tidak terhenti begitu sahaja.

Perhatian kini tertumpu kepada pengumuman yang dijadualkan dibuat Mohd Puad pada 27 Jun, bertepatan dengan hari penamaan calon PRN Johor.

BN Johor dijadual mengumumkan senarai penuh calon yang akan bertanding pada jam 2.30 petang hari ini di Bangunan UMNO Johor Bahru.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 Jun sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian akan berlangsung pada 11 Julai.

Tempoh rasmi berkempen ditetapkan selama 14 hari.

BBerkaitan

Latest articles