Pendidikan Keusahawanan Perlu Jadi Keutamaan Negara – Tun M

KUALA LUMPUR: Pendidikan keusahawanan perlu dijadikan agenda utama negara bagi melahirkan lebih ramai pencipta pekerjaan, sekali gus memperkukuh daya saing dan memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keusahawanan bukan sekadar aktiviti perniagaan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada penciptaan kekayaan, peluang pekerjaan, inovasi teknologi dan pembangunan industri negara.

Menurutnya, kekuatan sesebuah ekonomi juga boleh dinilai berdasarkan keupayaan ekosistem keusahawanan dalam melahirkan usahawan yang berdaya saing.

“Usahawan menjana kekayaan, mewujudkan peluang pekerjaan, memperkenalkan teknologi baharu, memperkukuh industri, meningkatkan produktiviti dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam ucapan sempena menerima anugerah Father of Entrepreneurship Development Malaysia daripada Binary University di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Ucapan beliau dibacakan oleh anaknya, Marina Mahathir.

Dr Mahathir berkata, kemahiran keusahawanan bukan bakat semula jadi semata-mata, sebaliknya boleh dibentuk menerusi pendidikan dan latihan yang terancang.

Justeru, katanya, usaha meningkatkan keupayaan rakyat untuk membangunkan perniagaan sendiri perlu diberi perhatian serius bagi memastikan lebih ramai individu mampu menjadi pencipta pekerjaan, bukan sekadar bergantung kepada peluang pekerjaan sedia ada.

Mengimbas pendekatan pembangunan ekonomi negara, beliau turut menyentuh pengenalan Dasar Pandang ke Timur pada 1982 yang bertujuan membentuk asas kemahiran, disiplin, etika kerja dan penguasaan teknologi dalam kalangan rakyat dengan mencontohi Jepun serta Korea Selatan.

Menurutnya, dasar berkenaan bukan sekadar bertujuan mendapatkan teknologi atau menarik pelaburan asing, tetapi turut memberi penekanan kepada pembinaan pengetahuan, kemahiran, keupayaan keusahawanan dan keyakinan rakyat untuk meneroka pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, pembangunan kemahiran keusahawanan dalam kalangan rakyat turut menjadi antara faktor yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara sepanjang 1990-an.

Dalam pada itu, Dr Mahathir memuji inisiatif Binary University menerusi Asia Center for Entrepreneurship yang mengambil langkah ke arah menjadikan institusi berkenaan sebagai universiti keusahawanan pertama di Malaysia.

Beliau menyifatkan usaha memperkukuh pendidikan keusahawanan sebagai langkah penting dalam membina lebih ramai usahawan berkemampuan, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi negara dalam jangka panjang.

BBerkaitan

Latest articles