KUALA LUMPUR: Selangor muncul negeri dengan jumlah jangkitan virus imunodefisiensi manusia (HIV) tertinggi di Malaysia apabila merekodkan 896 kes sepanjang 2025, merangkumi hampir satu pertiga daripada keseluruhan kes yang dilaporkan di negara ini.
Jumlah itu mewakili 32 peratus daripada keseluruhan kes HIV di Malaysia berdasarkan statistik taburan mengikut negeri yang dikongsikan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi akaun Facebook Portal MyHealth.
Sabah merekodkan jumlah kedua tertinggi dengan 325 kes, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 324 kes.
Johor pula mencatatkan 232 kes, manakala Sarawak merekodkan 205 kes dan Pulau Pinang sebanyak 181 kes.
Negeri lain yang turut mencatatkan kes ialah Perak (113), Pahang (105), Kelantan (84), Kedah (84) dan Negeri Sembilan (84).
Terengganu merekodkan 70 kes, diikuti Melaka dengan 56 kes dan Perlis sebanyak 28 kes.
Sementara itu, Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan jumlah terendah iaitu 14 kes, bersamaan 0.5 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan.
Sehubungan itu, KKM mengingatkan orang ramai supaya lebih peka terhadap status kesihatan masing-masing serta mengamalkan gaya hidup selamat bagi mengurangkan risiko jangkitan HIV.
Kesedaran mengenai pencegahan dan kepentingan mengetahui status kesihatan melalui saringan juga perlu diberi perhatian bagi membantu membendung penularan jangkitan berkenaan.










