Pemansuhan Tol: Jangan Salahkan 1MDB Semata-mata, Kerajaan PH Perlu Jawab – BN

KUALA LUMPUR: Sekretariat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menolak dakwaan bahawa kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan janji pemansuhan tol antara 2018 hingga 2020 berpunca semata-mata daripada beban hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berkata, alasan mengaitkan kegagalan manifesto berkenaan dengan liabiliti 1MDB adalah tidak tepat, mengelirukan dan tidak menggambarkan kedudukan sebenar kewangan negara ketika itu.

Beliau berkata, berdasarkan jawapan rasmi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat pada November 2026, anggaran kos pengambilalihan keseluruhan 34 lebuh raya bertol di bawah 28 syarikat konsesi mencecah RM400 bilion.

Sebaliknya, berdasarkan perincian Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat pada Oktober 2026, keseluruhan komitmen hutang 1MDB termasuk prinsipal dan faedah berjumlah RM51.4 bilion.

“Persoalannya, sekalipun keseluruhan komitmen hutang 1MDB sebanyak RM51.4 bilion tidak wujud sama sekali, dari manakah kerajaan ketika itu hendak mendapatkan baki RM348.6 bilion untuk mengambil alih kesemua lebuh raya bertol tersebut?

“Angka ini membuktikan bahawa janji pemansuhan tol secara menyeluruh sememangnya berdepan kekangan struktur kewangan negara sejak awal lagi,” katanya pada sidang media di Parlimen pada Khamis.

Menurut Mohd Isam, rekod pentadbiran PH sendiri turut menunjukkan realiti pengurusan konsesi lebuh raya apabila tempoh konsesi PLUS dilanjutkan selama 20 tahun daripada 2038 kepada 2058 pada 2020 sebagai pertukaran kepada pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus.

Beliau berkata, keputusan itu membuktikan pengurusan lebuh raya bertol bukan sekadar memerlukan peruntukan tunai, sebaliknya membabitkan rundingan kontrak konsesi, pampasan berbilion ringgit, kos penyelenggaraan jangka panjang serta pulangan pelaburan institusi awam termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad.

Selain itu, beliau berkata, penilaian kemampuan kewangan kerajaan pada 2018 perlu mengambil kira keputusan dasar fiskal lain termasuk pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan penggantiannya dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Katanya, keputusan berkenaan turut memberi kesan kepada hasil cukai negara dan ruang fiskal kerajaan, justeru tidak wajar menjadikan komitmen 1MDB sebagai satu-satunya alasan kegagalan melaksanakan janji pemansuhan tol.

Dalam pada itu, Mohd Isam berkata, pentadbiran BN sebelum ini mengambil pendekatan lebih bersasar dalam mengurangkan beban rakyat apabila memansuhkan 11 plaza tol, antaranya Plaza Tol Batu Tiga, Sungai Rasau, Bukit Kayu Hitam serta plaza tol Batu 9 dan Batu 11 Lebuhraya Cheras-Kajang.

Menurutnya, BN turut melaksanakan projek lebuh raya utama tanpa kutipan tol seperti Lebuhraya Pan Borneo dan Central Spine Road.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan memberikan penjelasan terperinci berhubung empat perkara bagi menamatkan polemik berkenaan berdasarkan fakta dan angka rasmi.

Antaranya, pecahan kos pengambilalihan mengikut setiap syarikat konsesi lebuh raya, anggaran pampasan sekiranya perjanjian konsesi ditamatkan lebih awal serta unjuran kos penyelenggaraan tahunan yang perlu ditanggung kerajaan sekiranya semua lebuh raya diambil alih.

Selain itu, beliau mahu kerajaan mengemukakan bukti kewangan yang mengaitkan secara langsung jadual pembayaran hutang 1MDB dengan pembatalan pelan pemansuhan tol sepanjang tempoh 2018 hingga 2020.

“Rakyat berhak mendapat penjelasan yang jujur berasaskan angka sebenar, bukannya hujah politik yang diulang-ulang selalu.

“Kami berpendirian segala perbahasan di Dewan Rakyat hendaklah berpandukan data rasmi yang telus dan bertanggungjawab,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles