KUANTAN: Siasatan kes penyeludupan dadah yang didakwa membabitkan pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta penggunaan aset ketenteraan berkemungkinan membawa kepada lebih ramai tangkapan baharu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, setakat ini seramai 13 individu ditahan bagi membantu siasatan, terdiri daripada tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam.
Beliau berkata, siasatan masih berjalan dan polis tidak menolak kemungkinan individu lain yang mempunyai kaitan dengan kegiatan itu turut diberkas.
“Saya percaya hasil daripada siasatan yang berterusan, insya-Allah kita akan melakukan lain-lain tangkapan yang mempunyai hubung kait dengan kes yang sedang disiasat,” katanya ketika menghadiri Majlis Serah Tugas Ketua Polis Pahang kepada Datuk Mohammad Shaharul Md Osman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, hari ini.
Mohd Khalid turut menegaskan kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pihak tentera, khususnya TUDM, membuahkan hasil menerusi operasi bersama sehingga membawa kepada penahanan individu terbabit.
Menurutnya, tindakan itu penting bagi memastikan kegiatan pengedaran dadah dapat dibendung dan tidak terus berleluasa dalam negara.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran lanjut berhubung perkembangan siasatan bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses berkenaan.
Dalam masa sama, beliau memberi amaran bahawa tiada mana-mana pihak akan terkecuali daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati mempunyai kaitan dengan kegiatan itu.
Mengulas mengenai kepimpinan baharu Polis Pahang, Mohd Khalid berkata, kesinambungan tugas dan kesepaduan pasukan perlu diberi keutamaan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di negeri itu terus terpelihara.
Katanya, kekuatan kira-kira 6,300 pegawai dan anggota polis di Pahang perlu disokong semangat solidariti serta kerja berpasukan supaya setiap tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan berkesan.










