PAC Gesa Kuota Minyak Masak Subsidi Dinilai Semula Ikut Keperluan Sebenar

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa kerajaan menilai semula kuota minyak masak bersubsidi secara berkala berdasarkan keperluan domestik sebenar bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan.

Pengerusinya, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Kewangan (MOF) telah mengurangkan kuota siling minyak masak bersubsidi daripada 60,000 tan metrik kepada 55,000 tan metrik sebulan mulai Jun 2026, jumlah itu masih perlu diteliti.

Menurutnya, keperluan domestik sebenar berdasarkan data transaksi sistem Electronic Cooking Oil Price Stabilization Scheme (eCOSS) dianggarkan antara 19,000 hingga 30,000 tan metrik sebulan.

“Penilaian berkala ini penting bagi mengelakkan lebihan bekalan yang boleh membuka ruang kepada ketirisan dan juga penyeludupan daripada berlaku,” katanya pada sidang media di Parlimen pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas PAC membentangkan laporan tindakan susulan berhubung pengurusan kawalan harga dan subsidi minyak masak di Dewan Rakyat.

Mas Ermieyati berkata, laporan asal PAC (DR.27/2026) dibentangkan pada 16 Julai lalu susulan penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang mendedahkan kelemahan serius dalam pemantauan dan penguatkuasaan program minyak masak bersubsidi, membabitkan peruntukan berjumlah RM12.138 bilion.

Katanya, PAC sebelum ini mengemukakan lapan syor penambahbaikan kepada KPDN serta kementerian dan agensi berkaitan.

Susulan itu, KPDN mengemukakan laporan tindakan susulan muktamad kepada PAC pada 1 Oktober lalu sebelum prosiding diadakan pada 8 Oktober dengan memanggil Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Kementerian Kewangan, Datuk Zamzuri Abdul Aziz dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) KPDN, Datuk Roziah Abudin.

Menurut Mas Ermieyati, PAC mengambil maklum beberapa perkembangan positif yang dilaksanakan kementerian terbabit, namun menegaskan penambahbaikan berterusan masih diperlukan.

Antara perkara yang diberi perhatian ialah audit kos operasi syarikat pembungkus susulan kaji selidik menunjukkan peningkatan kos sebanyak 9.63 peratus kepada RM2,982 bagi setiap tan metrik.

Beliau berkata, KPDN perlu menyegerakan proses pengesahan dokumen dan audit kos susulan bersama kilang penapis bagi memastikan kesahihan kos yang dikemukakan sebelum sebarang kadar subsidi dimuktamadkan.

Selain itu, PAC mahu kawalan terhadap stok rosak dan penyelewengan minyak masak terpakai atau *used cooking oil* (UCO) diperketatkan menerusi semakan rekod antara syarikat pembungkus, pemborong dan peruncit.

Katanya, tindakan undang-undang tegas juga perlu diambil terhadap pihak yang menyeleweng minyak masak bersubsidi untuk dijadikan minyak masak terpakai.

Dalam aspek subsidi bersasar, PAC menyambut baik pewartaan larangan pembelian minyak masak paket oleh bukan warganegara menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan Minyak Masak) 2026 serta pelaksanaan projek rintis aplikasi mudah alih eCOSS.

Bagaimanapun, beliau berkata, integrasi sistem berkenaan dengan MyDigital ID atau platform bantuan sedia ada seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Budi MADANI RON95 dan Budi Diesel perlu dipertimbangkan.

” KPDN juga perlu membentangkan laporan keberkesanan projek rintis sebelum perluasan menyeluruh dilaksanakan bagi mengatasi ketirisan rekod manual di kawasan yang tidak mempunyai capaian internet,” katanya.

PAC turut mencadangkan KPDN mengemukakan penilaian ekonomi dan unjuran pasaran terkini berdasarkan pergerakan harga minyak sawit mentah (CPO) kepada Jemaah Menteri, selain tidak hanya bergantung kepada kajian lama seperti yang dilaksanakan firma KPMG pada 2022.

Dalam perkembangan lain, PAC mengambil maklum keputusan KPDN menarik balik sepenuhnya kuota pembungkus sebanyak 1,370 tan metrik daripada kilang penapis milikan asing mulai 1 Januari 2027.

Mas Ermieyati berkata, proses peralihan kuota berkenaan kepada pengilang tempatan perlu diuruskan secara telus bagi memastikan rantaian pengedaran serta kestabilan bekalan minyak masak bersubsidi tidak terjejas.

Beliau turut menggesa penguatkuasaan menerusi Operasi Tiris diteruskan secara konsisten, termasuk penggunaan teknologi dron dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tumpuan sempadan.

Katanya, tindakan pendakwaan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) juga perlu dimanfaatkan bagi melumpuhkan kegiatan sindiket penyeludupan.

Selain itu, PAC menegaskan pemeriksaan berkala dan naziran fizikal terhadap syarikat pembungkus perlu ditambah baik bagi membanteras penyelewengan di peringkat punca bekalan.

Beliau berkata, PAC mengambil maklum tindakan menyahaktifkan 211 syarikat pemborong dan peruncit daripada sistem eCOSS sebagai sebahagian usaha memperkukuh kawalan pengedaran.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati memaklumkan satu sesi penerangan mengenai penyata berkenaan akan diadakan di Dewan Rakyat pada 30 November ini sebelum dibahaskan oleh Ahli Parlimen.

Beliau menggalakkan semua Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan itu bagi mengemukakan pandangan dan cadangan penambahbaikan.

BBerkaitan

Latest articles