Nvidia Hentikan Penghantaran Server Ke Malaysia, Tiga Negara ASEAN

KUALA LUMPUR: Syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS), Nvidia dilaporkan mengarahkan rakan pengeluarannya menghentikan penghantaran server yang mengandungi cip keluarannya ke Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia.

Arahan itu dibuat susulan pelaksanaan sekatan eksport baharu AS yang memerlukan lesen eksport bagi penghantaran cip berteknologi tinggi ke beberapa negara Asia Tenggara.

Menurut laporan Financial Times (FT) pada Khamis, arahan berkenaan turut melibatkan pengeluar server utama termasuk Dell Technologies dan Super Micro Computer (Supermicro) yang memasang cip Nvidia ke dalam sistem server untuk pelanggan perusahaan.

Laporan itu menyebut, kedua-dua syarikat berkenaan telah memaklumkan kepada pembeli di empat negara terbabit bahawa Nvidia tidak membenarkan pesanan perkakasan mereka dihantar.

FT memetik tiga individu yang mengetahui perkembangan itu sebagai sumber laporan berkenaan.

Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada penghentian penghantaran itu bersifat sementara atau berpanjangan sementara Nvidia dan rakan pengeluarannya meneliti kaedah pematuhan terhadap peraturan kawalan eksport baharu Washington.

Reuters dalam laporan berasingan berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan secara bebas laporan FT itu.

Nvidia, Dell dan Supermicro juga tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan komen Reuters di luar waktu operasi biasa.

Sekatan baharu Jabatan Perdagangan AS itu bertujuan memperketat kawalan terhadap akses syarikat China kepada cip kecerdasan buatan (AI) berteknologi tinggi keluaran AS.

Washington sebelum ini membangkitkan kebimbangan mengenai penggunaan pusat data di negara ketiga oleh syarikat China bagi mendapatkan akses kepada kuasa pengkomputeran dan cip AI yang tertakluk kepada sekatan eksport.

Negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, Singapura dan Thailand dipercayai menjadi antara lokasi yang digunakan syarikat teknologi China untuk mendapatkan akses kepada kemudahan pengkomputeran berkenaan.

Banyak syarikat China dilaporkan menggunakan perkhidmatan penyedia pengkomputeran awan yang menyewakan kapasiti server dilengkapi cip Nvidia bagi mengatasi sekatan mendapatkan cip berkenaan secara langsung.

Perkembangan itu berpotensi memberi kesan kepada industri pusat data dan infrastruktur AI di rantau ini, khususnya Malaysia dan Indonesia yang menerima pelaburan besar dalam pembangunan kemudahan pusat data.

Dalam perkembangan berkaitan, laporan FT turut menyebut ketidaktentuan pelaksanaan peraturan baharu itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyedia perkhidmatan pengkomputeran awan di rantau berkenaan.

Seorang eksekutif penyedia perkhidmatan awan yang terjejas dipetik berkata: “Terdapat peraturan baharu ini tetapi tiada panduan mengenai pelaksanaannya. Tiada siapa tahu bagaimana untuk memohon lesen ini sedangkan tempoh 90 hari sedang berjalan.”

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai mencetuskan kekacauan dalam industri berkenaan.

Laporan itu turut menyatakan sekatan berkenaan boleh menjejaskan perkembangan industri pusat data bernilai berbilion dolar di Asia Tenggara, terutama projek yang bergantung kepada bekalan perkakasan pengkomputeran berprestasi tinggi.

BBerkaitan

Latest articles