SEREMBAN: Kemelut politik Negeri Sembilan terus menjadi perhatian apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim, tiba di Istana Hinggap, tengah hari ini, dipercayai bagi menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Kenderaan yang membawa Ismail dilihat memasuki pekarangan istana pada jam 1.18 tengah hari, sebelum kenderaan membawa Tuanku Muhriz tiba kira-kira 12 minit kemudian.
Perkembangan itu hadir ketika spekulasi mengenai kemungkinan pelantikan Menteri Besar baharu bagi menggantikan Ismail semakin memuncak, susulan kemelut politik yang melanda negeri itu.
Dalam perkembangan berkaitan, pimpinan Barisan Nasional (BN) diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dijangka menghadap Tuanku Muhriz pada jam 3 petang ini.
Sebelum ini, Zahid menegaskan BN menyerahkan sepenuhnya urusan dan kuasa pelantikan Menteri Besar kepada Tuanku Muhriz, selain menafikan gabungan itu pernah melanggar Perlembagaan Negeri dalam menangani isu berkenaan.
Beliau turut berharap kemelut politik itu dapat diselesaikan segera bagi memastikan urusan pentadbiran negeri tidak terus terjejas, khususnya membabitkan pembentangan dan kelulusan Belanjawan Negeri tahun depan.
Belanjawan yang pada asalnya dijadual dibentangkan pada 16 Oktober lalu ditangguhkan kepada 27 November ini, selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ditetapkan bersambung semula esok.
Bagaimanapun, pada Jumaat lalu, Ismail dilaporkan akan terus kekal sebagai Menteri Besar susulan titah Tuanku Muhriz, berikutan kontroversi surat peletakan jawatan yang didakwa tidak pernah diserahkan atau mendapat kebenaran beliau.
Dalam pada itu, semua ADUN BN dan Perikatan Nasional (PN) yang menghadiri pertemuan khas pada malam Jumaat lalu dilaporkan bersetuju untuk akur dan mematuhi arahan kepimpinan tertinggi serta ketetapan parti bagi mencari penyelesaian terhadap kemelut politik berkenaan.










