Hassan Cadang Jemput Bekas PM, Termasuk Yang Dalam Penjara, Ke Sambutan Hari Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan menjemput secara rasmi semua bekas Perdana Menteri yang masih hidup, termasuk mereka yang sedang menjalani hukuman penjara atau tahanan rumah, untuk menghadiri sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia akan datang.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan bagi memupuk tradisi menghormati bekas pemimpin negara dalam acara rasmi peringkat kebangsaan.

Menurutnya, kerajaan boleh mencontohi tradisi di Amerika Syarikat yang menjemput bekas Presiden menghadiri majlis rasmi negara.

“Untuk sambutan Hari Kemerdekaan tahun-tahun akan datang, jemputlah secara rasmi bekas-bekas Perdana Menteri yang lalu.

“Perdana Menteri keenam, ketujuh yang masih hidup, Perdana Menteri kelapan, kesembilan dan kesepuluh. Kalau ada Perdana Menteri dalam tahanan rumah pun tidak ada masalah, jemput sekali. Minta kebenaran Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk hadir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan peringkat jawatankuasa Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat pada Isnin.

Hassan berkata, tidak manis sekiranya bekas Perdana Menteri hadir ke sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya secara bersendirian tanpa jemputan rasmi daripada kerajaan.

“Kalau kita tengok di Amerika Syarikat, apabila ada majlis negara, mereka jemput Presiden-presiden yang lama.

“Rasanya tidak manislah kalau bekas Perdana Menteri datang ke Hari Merdeka di Putrajaya seorang diri,” katanya.

Dalam perbahasan sama, beliau turut meminta Kementerian Komunikasi memberikan penjelasan mengenai peruntukan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, khususnya perbelanjaan RM15 juta bagi perkhidmatan dan bekalan serta RM10 juta bagi pemberian kenaan dan bayaran.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pertanyaan itu bukan bertujuan mempertikaikan perbelanjaan berkenaan, sebaliknya mahu mengetahui tujuan penggunaannya.

Selain itu, Hassan mencadangkan supaya pertunjukan pesawat pejuang yang dibeli dari Korea Selatan dipertimbangkan sebagai antara acara pameran sempena sambutan Hari Kebangsaan akan datang.

Katanya, langkah itu boleh memberikan peluang kepada rakyat melihat sendiri aset pertahanan udara negara memandangkan kapal tempur pesisir (LCS) sukar dipamerkan dalam acara sambutan di darat.

BBerkaitan

Latest articles