Trump Iktiraf Peranan Anwar Jayakan Perjanjian Damai Kemboja-Thailand

MANILA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, secara terbuka mengiktiraf peranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam menjayakan perjanjian damai bersejarah antara Kemboja dan Thailand, sekali gus menegaskan komitmen Washington untuk memastikan persetujuan itu terus dipatuhi.

Pengiktirafan itu disampaikan Trump ketika berucap pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS, pada malam Selasa, apabila beliau mengimbas usaha bersama Anwar yang membawa kepada pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur pada tahun lalu.

Menurut Trump, kerjasama kedua-dua pemimpin itu berjaya merintis gencatan senjata antara dua negara jiran berkenaan, sekali gus membuka ruang kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik untuk kembali ke kediaman masing-masing.

“Seperti yang anda semua maklum, pada mesyuarat ASEAN di Malaysia tahun lalu, Anwar dan saya menjadi perantara dalam memeterai perjanjian damai bersejarah antara Kemboja dan Thailand, yang dikenali sebagai Perjanjian Damai Kuala Lumpur.

“Kami kekal komited untuk mengekalkan gencatan senjata itu dan memastikan perjanjian berkenaan dilaksanakan sepenuhnya seperti yang dipersetujui setahun lalu,” katanya.

Trump turut menyatakan keyakinan bahawa gencatan senjata berkenaan mampu bertahan, berdasarkan perkembangan positif hubungan antara Kemboja dan Thailand ketika ini.

Beliau menyifatkan kejayaan memeterai perjanjian itu sebagai satu pencapaian besar hasil usaha bersama, selain memaklumkan bahawa beliau menerima penghargaan daripada Kemboja dan beberapa pemimpin lain atas peranan berkenaan.

“Itu satu pencapaian besar, sesuatu yang hebat yang kami jayakan bersama,” katanya.

Untuk rekod, Deklarasi Bersama Perjanjian Damai Kuala Lumpur ditandatangani oleh Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul pada 26 Oktober 2025, dengan Anwar dan Trump bertindak sebagai saksi.

Dokumen berkenaan menggariskan komitmen kedua-dua negara untuk menyelesaikan pertikaian sempadan secara aman, tidak mengancam atau menggunakan kekerasan serta memanfaatkan mekanisme rundingan dua hala sedia ada bagi menangani isu berbangkit.

Perjanjian itu merupakan kesinambungan komitmen terhadap keamanan dan keselamatan yang diumumkan di Putrajaya pada 28 Julai 2025, susulan tercetusnya konflik sempadan antara kedua-dua negara berkenaan.

Sidang kemuncak khas itu menghimpunkan Trump bersama pemimpin serta wakil daripada 11 negara anggota ASEAN, dengan Malaysia diwakili Anwar.

BBerkaitan

Latest articles